[Video] 5 Individu Termasuk Bayi & Kanak-Kanak Rentung Dalam Kebakaran Di Perkampungan Setinggan Di Likas
Kelima-lima mangsa rentung berusia antara satu hingga 14 tahun dan merupakan anak kepada dua keluarga yang berjiran.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kejadian kebakaran di perkampungan setinggan Jalan Lembaga Padi, Likas di Kota Kinabalu, Sabah mengorbankan lima nyawa iaitu seorang bayi, tiga kanak-kanak dan satu remaja.
Dalam kejadian pada tengah hari semalam (30 September), tiga buah rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan 70×80 kaki terbakar 100%, termasuk satu stor dan sebuah kedai runcit.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasit, satu panggilan kecemasan berkaitan insiden itu diterima pada jam 12.47 tengahari.
“Seramai 5 orang mangsa (anggaran umur 1 hingga 14 tahun) dilaporkan rentung dan dua buah kenderaan musnah 100%,” kata Agustavia.
5 Mangsa Ditemukan Dalam Bilik Mandi
Maklumat awal mendapati kelima-lima mangsa merupakan anak kepada dua keluarga yang berjiran.
Tiga daripada mangsa adalah adik-beradik Raina Adrian, 1, Raida, 3, dan Raisa, 4, manakala dua lagi anak keluarga jiran mereka yang juga adik-beradik Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya, Almidah, 14.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kesemua mayat lima mangsa yang telah rentung ditemukan di dalam bilik mandi salah sebuah rumah terlibat dalam kebakaran.
4 Rumah & Gerai Terbakar
Tambahnya, kebakaran yang membabitkan empat rumah dan sebuah gerai itu dilaporkan kepada pihaknya sekitar jam 12.40 tengah hari.
“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja membawa keluar mayat mangsa yang rentung. Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut,” katanya dipetik Berita Harian.
Dalam masa sama, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan memaklumkan satu panggilan kecemasan diterima oleh pihaknya pada jam 12.47 tengah hari.
Dia berkata sepasukan 35 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah digegaskan ke lokasi kejadian.
Punca Kebakaran Masih Dalam Siasatan
Tambah Farhan lagi, BBP Lintas menjalankan operasi pemadaman kebakaran dan turut dibantu oleh BBP Kota Kinabalu, BBP Tuaran serta BBP Putatan.
“Operasi terkawal pada jam 1.29 tengah hari dan pasukan bomba masih lagi memadam bara-bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan mangsa yang terlibat,” katanya.
Dia memaklumkan bahawa kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. Namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat Pasukan Forensik JBPM.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.