KKM Kuat Kuasa Akta 852 Berkaitan Kawalan Produk Rokok Mulai Hari Ini, 1 Oktober
Fasa penguatkuasaan pendidikan akan dilaksanakan bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) akan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober tahun ini.
Sehubungan itu, akta tersebut dikuatkuasakan bermula hari ini (1 Oktober) dengan beberapa aspek yang dijalankan serta-merta serentak dengan Peraturan-Peraturan serta Perintah di bawahnya.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan berkata ia memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa. Ini termasuklah aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada individu bawah umur.
2 Fasa Penguatkuasaan Akta 852: Serta-Merta & Penguatkuasaan Pendidikan
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, penguatkuasaan akta ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu serta-merta dan penguatkuasaan pendidikan.
Aspek-aspek yang dikuatkuasakan secara serta-merta adalah seperti berikut:
- Peruntukan yang melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja bagi mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
- Peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok.
- Tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.
Di samping itu, penguatkuasaan pendidikan akan dilaksanakan bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa, yang termasuk tiga aspek iaitu:
- Pendaftaran produk merokok, yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.
- Pembungkusan dan pelabelan, yang akan dikuatkuasakan mengikut produk (product-by-product), selewat-lewatnya 1 Oktober 2025.
- Kawasan jualan termasuk pameran di kaunter jualan, yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.
KKM Sediakan Bahan Pendidikan & Advokasi Berkenaan Akta 852
Dalam pada itu, KKM memaklumkan bahawa keberkesanan dan kemampanan penguatkuasaan undang-undang berkenaan memerlukan persefahaman dan kerjasama semua pihak.
Oleh yang demikian, KKM akan turut mengambil langkah-langkah berkaitan termasuk menerbitkan bahan pendidikan dan advokasi bagi meningkatkan pemahaman ke atas Akta 852 dalam kalangan pemegang taruh.
Ia juga akan meneruskan sesi libat urus berkaitan pematuhan akta tersebut, terutamanya dengan pemain industri.
“Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 boleh dibuat di talian 03-8892 4552 atau melalui aplikasi WhatsApp (010-860 8949) pada Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang bermula 30 September 2024,” katanya dalam kenyataan itu.
Baca Artikel Berkaitan: KKM Umum Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) Bakal Dikuatkuasa Mulai 1 Oktober Ini
Negara Kerugian RM6 Bilion Setahun Akibat Beban Penyakit Berkaitan Merokok
Dr Dzulkefly dalam satu ucapannya sebelum ini berkata dia mengawal selia perkara berkaitan rokok agar individu lain tidak mengalami kesan daripada sisa asap rokok.
Tambahnya, beban akibat penyakit berkaitan merokok termasuklah sakit jantung dan kanser menyebabkan kerugian sehingga RM6 bilion setahun.
Beliau ketika itu memaklumkan bahawa pelaksanaan Akta 852 akan dilakukan secara berperingkat dan cermat agar tidak membebankan pihak yang terlibat.
Untuk info, produk cecair atau gel nikotin sebelum ini telah dikecualikan daripada Akta Racun 1952 oleh KKM di bawah bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 2023.
KKM walau bagaimanapun pada 2 Februari lalu, mewartakan Akta 852 sebagai usaha bagi mengekang penggunaan produk tembakau dalam generasi muda dan mengurangkan kesan akibat merokok termasuklah vape.
Baca Artikel Berkaitan: 30% ‘Kaki’ Vape Di Malaysia Berumur 12 Hingga 15 Tahun
Baca Artikel Berkaitan: Rokok Elektronik Atau Vape Haram Buat Umat Islam – Menteri Agama
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.