Now Reading
Warga Emas Bakal Terima RM18,000 Selepas Semak Wang Tidak Dituntut Di Booth MOF

Warga Emas Bakal Terima RM18,000 Selepas Semak Wang Tidak Dituntut Di Booth MOF

Wang Tidak Dituntut itu akan dikreditkan ke akaun bank warga emas terbabit dalam tempoh 30 hari dari tarikh penghantaran dokumen lengkap.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Wujudnya peribahasa rezeki tidak datang bergolek yang bermaksud seseorang perlulah berusaha terlebih dahulu sebelum diberi rezeki.

Namun kadangkala, sesetengah orang bernasib baik apabila menerima rezeki yang tidak disangka-sangka bagai mendapat durian runtuh.

Itulah yang terjadi pada seorang warga emas setelah berkunjung ke booth Kementerian Kewangan (MOF) di Program MADANI Rakyat (PMR) Miri, Sarawak semalam (30 September).


Warga Emas Ada RM18,000 WTD

Dalam satu hantaran yang dikongsikan di media sosial Kementerian Kewangan (MOF), lelaki itu dikejutkan dengan berita kewujudan sejumlah RM18,000 Wang Tidak Dituntut (WTD) atas namanya.

Warga emas yang berasal dari Miri itu telah singgah di kaunter MOF ketika hadir ke PMR bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, sebelum semakan menemukan WTD miliknya.

MOF menerangkan bahawa WTD tersebut akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank individu terbabit dalam tempoh 30 hari dari tarikh penghantaran dokumen lengkap kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (Cawangan Miri).

Dalam pada itu, MOF mengingatkan orang ramai untuk melakukan semakan WTD.

“Bagi yang tidak berpeluang ke PMR, anda masih lagi boleh menyemak Wang Tidak Dituntut di laman sesawang eGUMIS,” katanya.


3 Kategori WTD Termasuk Wang Perlu Dibayar & Wang Dalam Kredit

Sebagai info, Akauntan Negara Malaysia dilantik sebagai Pendaftar WTD menurut Seskyen 9 Akta Wang Tak Dituntut 1965. Oleh itu, ia bertanggungjawab dalam menjalankan kewajipan dan fungsi seperti berikut:

  1. Pemegang amanah terhadap WTD yang diterima.
  2. Membayar balik WTD kepada empunya WTD sekiranya terdapat permohonan tuntutan.
  3. Memeriksa rekod syarikat atau firma bagi memastikan kepatuhan peruntukan Akta.
  4. Mencadangkan kompaun dan hukuman denda terhadap syarikat atau firma yang gagal mematuhi peruntukan Akta.

Berdasarkan laman web Jabatan Akauntan Negara (JANM), terdapat tiga kategori WTD seperti berikut:

  1. Wang yang perlu dibayar di sisi undang-undang kepada empunya, tetapi tidak dibayar dalam tempoh masa tidak kurang dari setahun. Contohnya:
    • Gaji, upah, bonus, komisen dan wang lain yang perlu dibayar kepada kakitangan
    • Dividen
    • Keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan
    • Tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran
    • Draf bank, cashier’s order, dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput
    • Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang
    • Cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai
    • Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit
  2. Wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam tempoh masa tidak kurang tujuh tahun. Ini termasuk:
    • Akaun simpanan
    • Akaun semasa
    • Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik)
  3. Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urusniaga dalam tempoh masa tidak kurang dua tahun.
    • Akaun pemiutang dagangan
    • Akaun penghutang dagangan berbaki kredit

Semak WTD Di Laman Web eGUMIS

Orang ramai yang tidak pernah melakukan semakan WTD diingatkan agar berbuat demikian. Seperti yang dimaklumkan oleh MOF, semakan WTD boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web eGUMIS.

Pengguna perlu mendaftar masuk terlebih dahulu dengan klik pada butang ‘Pendaftaran’ di bawah ‘Semakan’.

Setelah selesai daftar dan log masuk, pengguna akan dibawa ke skrin berikut dan perlu menekan butang ‘Carian Wang Tak Dituntut’.

Sumber gambar: eGUMIS

Kemudian, masukkan nombor kad pengenalan dan sebarang WTD yang tersedia akan terpapar seperti di bawah. Diingatkan bahawa had carian maklumat WTD yang dibenarkan dalam sehari adalah dua kali sahaja.

Jika tiada sebarang WTD yang tersedia, akan tertera ‘Tiada Data’ pada ruang rekod.

Sumber gambar: eGUMIS

Bagi permohonan WTD, tiada sebarang jumlah minimum yang diperlukan dan tiada caj dikenakan jika dilakukan menerusi Pendaftar.

Selain itu, tiada tempoh masa yang ditetapkan untuk memohon WTD yang telah diserahkan kepada Pendaftar.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd