[Video] 3 Maut, 1 Treler Terbakar Dalam Kemalangan 7 Kenderaan Di LPT
Lima individu cedera parah dan dikejarkan ke hospital, manakala lima lagi terselamat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Satu kemalangan maut berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) awal pagi tadi (30 September) yang telah meragut nyawa tiga orang lelaki dewasa.
Insiden yang berlaku di Kilometer 42 LPT itu membabitkan tujuh kenderaan, iaitu empat kereta, sebuah lori tiga tan dan dua treler. Salah satu daripada treler yang terlibat terbakar sepenuhnya.
Lebuh raya terbabit telah dibersihkan dan dibuka sepenuhnya, namun trafik dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi dilaporkan masih perlahan setakat 9 pagi tadi.
Kemalangan Babitkan Kedua-Dua Arah LPT
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.13 pagi. Mereka tiba di lokasi dalam masa empat minit kemudian.
“Anggota dari pasukan Bomba dan Penyelamat Bentong berusaha menyelamatkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan,” katanya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.33 pagi yang melaporkan kemalangan maut di kedua-dua belah arah LPT. Seramai lapan anggota digegaskan ke lokasi.
Tambahnya, agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik.
3 Lelaki Dewasa Maut, 5 Cedera Parah
Sehubungan itu, KKM mengesahkan tiga mangsa lelaki dewasa meninggal dunia di tempat kejadian iaitu Mohd Ridzuan Zulkafly, 40, Muhamad Zaimi Shariff, 39, dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zairi, 23.
Turut terlibat dalam kemalangan tersebut ialah 10 individu lain. Daripadanya lima (tiga lelaki dan dua wanita) cedera parah dan dikejarkan ke hospital, manakala lima lagi (tiga lelaki dan dua wanita) terselamat.
Pihak terlibat berjaya mengawal kebakaran sekitar jam 5.42 pagi dengan operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 5.50 pagi, lapor Awani.
Punca kemalangan dalam siasatan, manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak PDRM bagi tindakan lanjut.
Menurut LPT, pengalihan dan pembersihan telah diselesaikan, dan kesemua lorong dibuka sepenuhnya di kedua-dua hala LPT sejak jam 8.45 pagi tadi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.