Kes Amang Seksual: Mahkamah Tolak Permohonan Tangguh Hukuman PU Azman
Hakim Noridah Adam menjelaskan bahawa PU Azman tidak memiliki sebarang keadaan khas yang membolehkan permohonan untuk menangguhkan hukuman itu dibenarkan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes melibatkan pendakwah selebriti PU Azman yang dibicarakan bagi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang pada hari ini (27 September) menemui titik noktahnya apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan.
Dua pertuduhan tersebut adalah berdasarkan kes amang seksual fizikal yang dilakukan kepada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada tahun 2022.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noridah Adam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Amang Seksual: PU Azman Dipenjara 24 Tahun & 2 Sebatan
Permohonan Untuk Tangguh Hukuman Ditolak Oleh Mahkamah
Memetik laporan Harian Metro, hakim mahkamah telah menolak permohonan PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43, yang meminta untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
Jelas Noridah lagi, tertuduh tidak memiliki sebarang keadaan khas yang membolehkan permohonan itu dibenarkan.
“Permohonan peguam untuk menangguhkan hukuman ditolak kerana tiada keadaan khas yang dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.
Perkara sama turut diperkatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Izzati Mohamad selepas mengatakan bahawa tertuduh tiada keistimewaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Susulan itu, PU Azman dihantar ke Penjara Kajang bermula hari ini (27 September).
Pasukan Pembelaan PU Azman Bakal Buat Rayuan Untuk Tangguhkan Hukuman
Walau bagaimanapun, pasukan pembelaan PU Azman akan tetap memfailkan rayuan berkaitan hukuman terhadap pendakwah selebriti berkenaan di Mahkamah Sesyen Klang.
Menurut peguam yang mewakili PU Azman, Mohamad Zahid Ahmad berkata rayuan itu akan dilakukan secepat mungkin.
“Kami semestinya akan membuat rayuan nanti (bagi menangguh dan menggantung hukuman itu). Kesemua proses itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi Klang ini,” katanya.
Difahamkan, PU Azman masih berdepan lima lagi pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam, satu di Mahkamah Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.