Now Reading
Suspek Ditembak Mati Akibat Rempuh Kenderaan Polis, Miliki 26 Rekod Jenayah

Suspek Ditembak Mati Akibat Rempuh Kenderaan Polis, Miliki 26 Rekod Jenayah

Suspek yang memandu kereta jenis Nissan Grand Livina enggan menghentikan kenderaannya, sebaliknya mengundur dengan laju dan berbahaya sehingga merempuh kenderaan pasukan polis.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pihak polis hari ini (25 September) mengesahkan satu kejadian kenderaan polis dirempuh oleh kenderaan suspek pecah rumah dan insiden tembakan di Kundang, Rawang.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Polis Selangor, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan risikan maklumat sekitar pukul 1.15 pagi tadi bertujuan mengesan suspek kes pecah kedai di kawasan Damansara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mereka ketika itu telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina yang dipandu oleh suspek di Jalan KBK 4, Kampung Baru Kundang Rawang.


Suspek Rempuh Kenderaan Polis, PDRM Lepaskan Tembakan

Susulan itu, beliau berkata suspek yang tidak mahu menghentikan kenderaannya, mengundur dengan laju dan sangat berbahaya sehingga merempuh kenderaan pasukan polis. Suspek turut merempuh kenderaan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Ekoran daripada itu, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kenderaan suspek dan mengakibatkan kereta yang dipandu suspek terbabas,” jelasnya.

Tambahnya lagi, suspek yang terkena tembakan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Suspek Memiliki 26 Rekod Jenayah Lampau

Menurut Hussein, siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an. Dia juga didapati mempunyai 26 rekod lampau yang merangkumi 17 jenayah dan sembilan jenayah narkotik.

Di samping itu, suspek turut mempunyai 10 rekod kes pecah rumah dan kedai, serta pernah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(d) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Hussein berkata pihak polis telah merampas beberapa peralatan yang digunakan bagi memecah masuk rumah dalam kenderaan suspek, termasuk:

  • Parang berukuran 84cm
  • Pemotong warna hitam berukuran 90cm
  • Batang besi berukuran 94cm
  • Kapak besi berukuran 50cm
  • Parang berukuran 46cm
  • Parang berukuran 75cm
  • Kuku kambing berukuran 52cm
  • Pemotong warna oren berukuran 77cm
  • Alat kikisan cat
Peralatan pecah rumah yang dirampas dari dalam kenderaan suspek. (Sumber gambar: Polis Selangor)

Polis Kesan Ahli Kumpulan Suspek

Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuba membunuh orang yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabit kesalahan.

“Pihak polis juga sedang mengesan beberapa ahli kumpulan suspek yang masih bebas,” katanya dipetik Kosmo.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd