Now Reading
KKM Umum Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) Bakal Dikuatkuasa Mulai 1 Oktober Ini

KKM Umum Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) Bakal Dikuatkuasa Mulai 1 Oktober Ini

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawah akan dikuatkuasakan termasuklah melibatkan rokok elektronik atau vape.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapan dimuat naik di laman X (@KKMPutrajaya) mengumumkan bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bakal dikuatkuasakan mulai 1 Oktober 2024.

Penguatkuasaan akta berkenaan turut merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.

Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawah Akta 852 ini juga akan dikuatkuasakan termasuklah melibatkan rokok elektronik atau vape.

Perkara ini turut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi ciapan dimuat naik di laman X (@DrDzul) pada malam semalam (24 September).


Penguatkuasaan Akta 852 Sebelum Ini Ditangguhkan

Pada tahun 2023, KKM yang pada ketika itu dikendalikan oleh bekas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah mengeluarkan perintah untuk mengecualikan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952.

Tindakan itu sekaligus mendapat pelbagai kritikan dari masyarakat kerana bimbang sekiranya lebih ramai anak muda yang terjerumus dalam penggunaan vape.

Kemudian 2 Februari lalu, KKM telah mewartakan Akta 852 sebagai usaha untuk mengekang penggunaan produk tembakau dalam generasi muda dan mengurangkan kesan akibat merokok termasuklah vape.

Baca Artikel Berkaitan: 30% ‘Kaki’ Vape Di Malaysia Berumur 12 Hingga 15 Tahun

Sumber: Freepik

Memetik laporan Buletin TV3, Dr Dzulkefly mendedahkan bahawa hasil kajian yang dilakukan oleh Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 mendapati bahawa peratusan pengguna rokok elektronik di Malaysia semakin meningkat.

Lebih membimbangkan lagi apabila ia menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan orang dewasa berusia 50 tahun ke bawah.


Akta 852 Bakal Beri Perlindungan Bagi Kanak-kanak Dari Penggunaan Rokok Elektronik

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Muaz Sayuti berkata bahawa penguatkuasaan Akta 852 ini ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan guru.

Ia kerana akta tersebut dilihat dapat mengawal semua jenis produk rokok di pasaran serta bakal memberi perlindungan daripada bahaya penggunaannya kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak.

“Pendaftaran dalam konteks ini bukan seperti ubat-ubatan yang jika berdaftar dengan KKM maksudnya selamat. Pendaftaran melalui akta ini supaya dapat pengawasan dan mengetahui kandungan yang berada dalam produk itu.

“Jika mempunyai kesan kepada kesihatan, akta ini ada kuasa untuk tarik kebenaran terhadap produk terbabit,” jelas Dr Muaz Sayuti.

Baca Artikel Berkaitan: Akibat Hisap Vape ‘Magic Mushroom’ Berlebihan, Pelajar 16 Tahun Alami Sawan Kritikal

Sumber: Freepik

Penggunaan Vape Adalah Haram Dalam Islam

Menerusi Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 21 Disember 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa vape atau perbuatan menghisap rokok elektronik adalah haram bagi umat Islam.

Berdasarkan perspektif syarak daripada ulama kempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie serta Hambali di dalam kitab mereka turut mengharamkan umat Islam memakan, minum atau mengambil bahan-bahan yang boleh mendatangkan mudarat kepada badan meskipun ia suci seperti racun, tanah, kaca dan sebagainya.

Kemudaratan yang dimaksudkan turut merangkumi perkara seperti membawa kematian, kehilangan, kerosakan anggota, mengundang penyakit bahaya, selain bahan yang digunakan itu tidak memberi sebarang faedah kepada pengguna.

Baca Artikel Berkaitan: Rokok Elektronik Atau Vape Haram Buat Umat Islam – Menteri Agama


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd