Niat Nak Lawat Kubur Ayah Tak Kesampaian, 2 Beradik Maut Rempuh Tong Sampah Roro
Dua mangsa yang maut itu adalah remaja lelaki berusia 18 tahun iaitu Muhammad Amirul Hazlin dan adik perempuannya Nur Afiqah Sofea berusia 5 tahun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tiada sesiapa yang boleh menjangkakan tarikh kematian mereka kerana ia adalah rahsia yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
Tua atau muda, kita semua pasti akan berdepan dengan ajal tanpa dipercepat atau dilambatkan walau sesaat.
Sudah pastinya kita sebagai umat Islam mahukan pengakhiran kehidupan dengan cara yang baik atau disebut sebagai husnul khatimah.
Remaja Dan Kanak-kanak Maut Ketika Mahu Lawat Kubur Bapa
Memetik laporan Sinar Harian, niat dua beradik mahu menziarahi kubur arwah bapa mereka yang meninggal 10 bulan lalu tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Insiden pada 6:15 petang semalam (23 September) itu dilaporkan berlaku di Jalan Lebuh SPA berhampiran Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka.
Kejadian tersebut mengakibatkan mangsa, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun iaitu Muhammad Amirul Hazlin dan adik perempuannya Nur Afiqah Sofea, 5, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, remaja lelaki berkenaan yang menunggang motosikal jenis Demak DV110 dipercayai dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.
“Doktor mengesahkan Muhammad Amirul meninggal dunia pada jam 7.40 malam diikuti adiknya kira-kira 12.30 pagi tadi,” kata Christopher dalam kenyataannya hari ini (24 September).
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian melibatkan kedua-dua mangsa.
Lebih menyayat hati lagi apabila kemalangan yang berlaku melibatkan dua beradik itu disaksikan sendiri oleh ibu mereka, Norizan Ujak, 40, yang mengekori dari belakang dengan menunggang motosikal berlainan untuk menuju ke Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu.
Jelas Christopher lagi, mangsa yang menunggang motosikal itu dikatakan tidak menyedari keberadaan sebuah tong sampah roro di bahu jalan sebelum merempuhnya hingga mengakibatkan kecederaan parah.
Susulan itu, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Malaysia Catat Purata 18 Kematian Sehari Melibatkan Pengguna Jalan Raya
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Mac lalu memaklumkan Malaysia mencatatkan purata 18 kematian sehari disebabkan kemalangan pada tahun lalu yang mana 12 daripadanya melibatkan motosikal.
Berdasarkan statistik mengenai kemalangan membabitkan kematian, beliau mendedahkan jumlah individu maut dicatatkan pada tahun 2023 adalah 6,443, sekali gus merekodkan angka tertinggi dalam tempoh masa lima tahun.
Daripada jumlah berkenaan, hampir dua pertiga adalah kemalangan membabitkan motosikal sebanyak 4,480 kematian.
Jumlah kes maut tersebut bersamaan dengan purata 18 kematian akibat jalan raya setiap hari iaitu seorang bagi setiap 80 minit.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Catat Purata 18 Kematian Sehari Akibat Kemalangan Jalan Raya – Anthony Loke
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Penunggang Motosikal Maut, Nyaris Jatuh Jambatan Pulau Pinang Selepas Terlanggar Kereta Tukar Lorong Mengejut
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu 30 Tahun Maut Selepas Rempuh Lembu Di Lebuhraya Plus
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.