MCMC Pantau Pihak Buat Parodi Guna Lagu GISBH, Ambil Tindakan Jika Ada Laporan
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, mereka yang menggunakan lagu melibatkan GISBH itu akan disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya terdapat laporan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Selepas pihak polis membongkar kegiatan yang dilakukan oleh organisasi dan syarikat yang dikenali sebagai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), nama GISBH atau Global Ikhwan mula hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat.
Antara dakwaan yang timbul adalah kegiatan pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak, mengajar liwat dan mengamalkan ajaran sesat serta banyak lagi.
Di media sosial, beberapa lagu dihasilkan oleh GISBH yang didakwa memuja pengasas ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad, atau dikenali Abuya telah tular.
Malah, ada yang menggunakan lagu mereka seperti ‘Pasar Ikhwan Di Putrajaya’ sambil melakukan parodi dan tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan muzik berkenaan.
MCMC Pantau Kandungan Guna Lagu Kumpulan GISBH Sebagai Bahan Jenaka
Oleh kerana lagu berkenaan sudah semakin popular, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menjalankan pemantauan terhadap kandungan media sosial yang menggunakan lagu membabitkan GISBH.
Memetik laporan Berita Harian, pemantauan itu turut dilakukan terhadap video parodi yang dilihat dilakukan oleh segelintir pengguna media sosial sebagai bahan jenaka.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, kerjasama antara pihaknya dan agensi lain akan dilakukan bagi menyiasat kumpulan berkenaan sekiranya menerima sebarang permintaan.
“Kalau kami terima laporan berhubung perkara itu, kami akan ambil tindakan,” katanya.
Jelasnya lagi, tindakan yang boleh dikenakan kepada pelaku adalah dengan menurunkan hantaran parodi yang dimuat naik.
Pada masa yang sama, masyarakat turut diminta untuk mendengar nasihat daripada pihak berkuasa seperti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), polis dan lain-lain.
“Antara tindakan yang boleh diambil adalah menurunkan hantaran berkenaan (parodi). Pada masa sama kita meminta orang ramai mendengar nasihat pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), polis dan lain-lain,” ujar Teo.
GISBH Diisytihar Sesat Oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis
Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat khususnya melibatkan batiniah.
Jelas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laporan Sinar Harian, beliau menegaskan bahawa ajaran GISBH ini merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.
Ujarnya lagi, model ekonomi yang dipraktikan oleh kumpulan ini juga bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.
“Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan,” kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang turut dikenali sebagai Dr MAZA.
Baca Artikel Berkaitan: “Liwat Tu Ada, Tapi Satu Dua Kes” – Pemimpin GISBH Bakal Ambil Khidmat Peguam, Minta Rakyat Tolong Bayar
Baca Artikel Berkaitan: Sering Dikait Dengan Kumpulan Al-Arqam, Ini Sejarah Penubuhan GISBH
Baca Artikel Berkaitan: KPN Dedah Ada Ahli GISBH Miliki 34 Anak, Tetapi Hanya 2 Orang Tinggal Bersama
Baca Artikel Berkaitan: Serbuan Rumah Amal GISBH: PDRM Tegaskan Perbincangan Dengan Suspek Jenayah Bukan SOP Siasatan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.