KPN Dedah Ada Ahli GISBH Miliki 34 Anak, Tetapi Hanya 2 Orang Tinggal Bersama
Menurut KPN Razarudin Husain, ahli-ahli kumpulan GISBH dilatih untuk tidak bercakap tentang anak hasil perkahwinan mereka bagi mengelak hukuman pengabaian kanak-kanak.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui, organisasi dan syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd atau dikenali sebagai Global Ikhwan terus menjadi bualan ramai di platform media sosial kerana didakwa membawa ajaran sesat.
Dalam serbuan dilakukan di premis GISBH, seramai 402 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun telah berjaya diselamatkan yang mana ada di antara mereka diliwat dan diajar cara untuk meliwat.
Bukan itu sahaja, sebelum ini, seorang anak bekas ahli GISBH turut mendakwa dia bersama keluarganya diabai dan dilayan dengan teruk oleh arwah si bapa yang dahulunya menyertai organisasi tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Serbu Premis Rumah Amal GISB, Kanak-Kanak Diajar Meliwat & Diliwat
Baca Artikel Berkaitan: “Banyak Trauma” – Dakwa Keluarga Diabai, Anak Bekas Ahli GISBH Kongsi Sisi Gelap Kumpulan Ini
Ahli GISBH Abai Kanak-kanak, Hanya Jaga 2 Daripada 34 Orang Anak
Semalam (23 September), Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan bahawa terdapat ahli GISBH yang mempunyai seramai 34 anak.
Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati anak yang ramai itu adalah hasil daripada poligami yang mana ahli GISBH tersebut beristeri empat.
“Daripada 34 anak, dua anak tinggal bersamanya. Kalau kita tanya siapa nama anak dia mungkin dia pun tidak tahu,” kata beliau.
Ahli GISBH Dilatih Untuk Elak Bercakap Benar Tentang Perihal Anak
Dalam pada itu, KPN turut mendedahkan bahawa ahli-ahli kumpulan ini telah dilatih atau didoktrin (percaya) untuk tidak bercakap benar tentang anak-anak hasil daripada perkahwinan mereka.
Hal ini kerana bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan hukuman mengenai kes melibatkan pengabaian kanak-kanak.
“Mereka ahli GISBH tidak akan mengaku anak hasil perkongsian perkahwinan mereka sedangkan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal adalah anak ahli kumpulan itu.
“Ini adalah satu bentuk penipuan yang telah didoktrinkan dalam kalangan ahli GISBH,” tambah beliau.
GISBH Boleh Kutip Dana Dari Orang Awam Lepas Anak Dikategorikan Anak Yatim
Berbicara lebih lanjut berhubung si kecil yang diabai, Razarudin menjelaskan bahawa anak-anak tersebut akan dihantar ke rumah amal GISBH dan dikategorikan sebagai anak yatim.
Dengan cara itu, pihak organisasi terbabit boleh mengutip dana dan sumbangan daripada orang awam untuk tujuan pengurusan anak-anak yatim.
Ibu Bapa Menipu, Tak Mahu Mengaku Anak Di Rumah Amal GISBH
Dalam masa yang sama, ibu bapa ahli GISBH yang ditahan ini enggan mengaku kanak-kanak di rumah amal adalah darah daging sendiri. Menurut persepsi mereka, adalah lebih baik untuk tidak mengaku kerana beranggapan ia bukan satu kesalahan.
“Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis. Mereka tidak mahu mengaku bahawa kanak-kanak di rumah amal adalah anak-anak mereka.
“Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web sumbangan untuk ‘anak yatim’, sedangkan sebenarnya anak-anak ahli. Ia adalah satu penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ulas Razarudin.
Anak-anak Di Rumah Amal GISBH Tidak Kenal Ibu Bapa Sendiri
Tidak terhenti di situ sahaja, anak-anak di rumah amal juga telah didoktrin supaya mengaku diri sendiri sebagai anak yatim selain tidak mengenali ibu bapa masing-masing.
Selepas hasil keterangan direkodkan, PDRM mendapati kanak-kanak terutamanya berumur 12 tahun ke bawah yang tinggal di rumah amal GISBH tidak mengenali ibu bapa yang mana mereka merupakan sebahagian daripada ahli organisasi terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: JHEAT Dedah Logo GISBH Ditemui Pada Badan Kuda
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram