SPRM Rampas Hampir RM800,000 Di Rumah 2 Pegawai Imigresen Gred Rendah Ketika Serbuan
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebanyak 27 keping dinar emas dengan berat 575.75 gram dianggarkan bernilai RM200,000 juga disita dari pegawai imigresen gred KP22 di Negeri Sembilan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari ini (18 September) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendedahkan berhubung penemuan wang ringgit bernilai hampir RM800,000 di rumah dua pegawai imigresen yang bergred rendah.
Wang tersebut ditemui selepas pihak SPRM melakukan serbuan melibatkan sindiket ‘counter setting’.
RM518,250 ditemui dalam bagasi di Pahang, manakala RM248,443 pula dijumpai dalam bilik di Melaka
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam beberapa serbuan yang dijalankan SPRM telah menemukan duit bernilai RM518,250 di dalam sebuah bagasi di kamar tidur pegawai wanita imigresen bergred KP22 di Pahang.
Manakala duit berjumlah RM248,443 pula ditemukan berada di bawah katil di sebuah bilik utama pegawai imgiresen lelaki Gred KP19 di rumahnya yang terletak di Melaka.
“Jumlah wang tunai itu adalah sebahagian daripada RM1.49 juta wang tunai yang disita terhadap penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’.
“Sepanjang operasi ini, SPRM turut menyita wang tunai sebanyak AS$9,900 (RM41,990) serta 5,470 Bath (RM696),” ujarnya, memetik Harian Metro.
SPRM turut sita 22 kenderaan, barangan kemas, dan bekukan 215 akaun bank
Jelas Azam, selain wang tunai sebanyak 27 keping dinar emas dengan berat 575.75 gram dianggarkan bernilai RM200,000 juga disita dari pegawai imigresen gred KP22 di Negeri Sembilan.
Tambah beliau lagi, sepanjang operasi itu dilakukan SPRM telah bertindak menyita sebanyak 22 unit kenderaan iaitu sembilan kereta dan 13 motosikal.
“Turut disita ialah lebih 75 barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai loket dan subang selain 12 jam tangan pelbagai jenama.”
Selain itu, pihaknya juga membekukan sebanyak 215 akaun bank milik 16 syarikat serta 84 individu dengan nilai pembekuan melebihi daripa RM3.6 juta.
‘Counter setting’ adalah sindiket promosikan pakej masuk Malaysia
Sementara itu, beliau juga mendedahkan modus operandi ‘counter setting’ merupakan sindiket yang mempromosikan pakej untuk masuk ke negara ini melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan aplikasi lain.
Pihak ejen akan berhubung dengan pegawai imigresen melalui WhatsApp untuk mengetahui tarikh yang sesuai bagi membolehkan kumpulan warga asing yang datang ke Malaysia sebagai pelancong.
Manakala pegawai imigresen pula akan memberikan ‘green light’ (lampu hujau) sekiranya tarikh tersebut adalah sesuai.
“Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai imigresen terbabit.
“Pegawai itu akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia.”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.