Now Reading
Malaysia Catat Kes Monkeypox Pertama Tahun Ini. Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Malaysia Catat Kes Monkeypox Pertama Tahun Ini. Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Pesakit Mpox (Cacar Monyet) ini merupakan seorang lelaki tempatan dengan gejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan ruam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (17 September), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu kes positif cacar monyet atau ‘monkeypox’ (Mpox) dalam varian Clade II (dua) daripada 58 kes disyaki.

Kes baru ini dikesan semalam (16 September), menjadikan semua 10 kes bermula 26 Julai 2023 sehingga kini hanya membabitkan Clade ll sahaja.

Mengulas lanjut, pesakit merupakan seorang lelaki warga tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu dan juga ruam pada hari berikutnya.


Semua Kontak Pesakit Sedang Dikenali Pasti

Menurut KKM, pesakit tidak terlibat dengan sebarang perjalanan ke luar negara sebelum gejala mula kelihatan.

“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan stabil.

“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” kata KKM.


Orang Ramai Digesa Mengamalkan Langkah Pencegahan Mpox

Selain inisiatif menyebarkan tentang masalah kesihatan ini kepada orang ramai, KKM juga menggesa setiap individu untuk mengambil langkah pencegahan seperti berikut:

  • Individu berisiko tinggi yang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam serta lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.
  • Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti Mpox termasuk hubungan seksual.
  • Mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman.

Kes Disyaki Mpox Perlu Jalani Ujian Pengesanan Virus

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pengamal perubatan perlu sentiasa peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

“Bagi kes disyaki Mpox, swab lepuh, oral dan sampel darah serta serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus Mpox.

“Kes disyaki Mpox perlu dimaklumkan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui sistem e-Notifikasi supaya siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan,” jelas beliau.


Apa Itu Mpox?

Monkeypox (Cacar Monyet) adalah satu jenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox (MPVX). Jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan virus berkenaan.

Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan Mpox adalah 5-21 hari.

Lazimnya, kes Mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus yang mana mengambil masa 2-4 minggu.

Gejala cacar monyet pula adalah seperti berikut:

  • Demam
  • Ruam
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Kurang bertenaga
  • Noda limfa bengkak
Sumber: Freepik

Terdahulu, Mpox telah diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos susulan penularan virus Clade di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara jiran di rantau Afrika.


Sejak Bila Mpox Mula Dikenal Pasti?

Untuk pengetahuan semua, pembawa yang dipercayai kepada virus ini adalah tupai dan haiwan perosak iaitu tikus. Ia diberi nama Monkeypox kerana ia dijumpai pada monyet makmal semasa akhir tahun 1950.

Pun begitu, ahli saintis masih tidak dapat memastikan sama ada monyet ini merupakan pembawa utama atau sebaliknya.

Ini tiga cara utama virus ini boleh merebak kepada individu lain. Antaranya adalah:

  • Melalui gigitan, sentuhan langsung dengan darah, cecair badan atau luka haiwan yang dijangkiti.
  • Melalui pernafasan.
  • Kontak secara langsung dengan cecair pada ruam makulopapular dengan individu yang dijangkiti atau objek tercemar dengan virus sebagai contoh tempat tidur.

Kes Pertama Cacar Monyet Di Malaysia Adalah Pada Tahun 2023

Kalau anda nak tahu, virus Mpox ini pernah dicatatkan pada tahun lalu di negara ini dengan dua kes positif.

Seorang pesakit merupakan seorang pekerja warga asing yang sudah menetap di negara ini sejak April 2022. Difahamkan, warga asing itu telah melakukan perjalanan pada 6 Julai ke negara yang mempunyai kes Cacar Monyet.

Manakala bagi kes kedua pula adalah individu warga tempatan yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit kes pertama.

Baca Artikel Berkaitan: WHO Isytihar Cacar Monyet Darurat Kesihatan Awam, KKM Umum Tiada Kes Baru Di Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Catat 2 Kes Pertama Positif Cacar Monyet – KKM


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd