Lelaki Dakwa Anak Dikurung Dalam Sangkar Anjing Hanya Kerana Terkencing Dalam Seluar
Dakwa bekas pengikut syarikat produk berkaitan Islam itu, anaknya juga pernah dicampak ke lantai sehingga kanak-kanak itu terpaksa menerima 5 jahitan di kepala dan 3 lagi jahitan pada bahagian mulut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Terkencing di dalam seluar adalah salah satu perkara normal yang berlaku terhadap kanak-kanak berusia 2 hingga 6 tahun.
Oleh itu, sebagai ibu bapa mahupun penjaga kita perlulah melatih mereka untuk ke tandas. Selain itu, kita juga perlu mengawal emosi dan tidak cepat melenting memandangkan si kecil masih lagi dalam proses melatih diri.
Kanak-kanak dikurung dalam sangkar & dicampak ke lantai
Perkara sama dialami oleh seorang kanak-kanak namun siapa sangka hanya kerana isu kecil itu dia menerima hukuman yang agak kejam apabila dikurung dalam sangkar anjing.
Bukan hanya itu, kanak-kanak terbabit juga dicampak ke lantai sehingga mengakibatkan dia mengalami kecederaan di kepala dan terpaksa menerima lima jahitan serta 3 jahitan pada bahagian mulut.
Ikuti sebuah syarikat berkaitan produk Islam
Perkara itu didedahkan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Razif (bukan nama sebenar), bekas pengikut syarikat produk berkaitan Islam secara ekslusif kepada Harian Metro.
Dia mendakwa anaknya diperlakukan sebegitu rupa pada lima tahun lepas ketika si kecil itu masih berusia lima tahun.
Menurut Razif, dia mengenali syarikat itu menerusi abangnya pada tahun 2009.
Kejadian berlaku ketika anak berusia 5 tahun
Dia kemudian menyertai syarikat itu setahun selepasnya iaitu 2010 dan telah dihantar ke cawangan Miri, Sarawak pada 2011. Manakala pada tahun 2012 dia telah dijodohkan bersama isteri pertama dan pada 2019 pula dengan isteri kedua.
“Kejadian menyedihkan menimpa anak itu berlaku lima tahun lalu ketika dia berusia lima tahun, sekali gus menyebabkan saya mula terdetik untuk meninggalkan kumpulan ini.
“Ketika itu, anak saya terkencing dalam seluar menyebabkan dia dikurung di dalam sangkar anjing sebagai hukuman,” ujarnya.
Anak dicampak ke lantai kerana terkencing dalam seluar
Katanya lagi, beberapa bulan selepas kejadian itu anaknya sekali lagi terkencing di dalam seluar dan si kecil itu telah dicampak ke lantai sehingga dia dijahit pada bahagian kepala dan mulut.
“Sejak kes itu saya mula berasa ada yang tidak kena dan ambil keputusan untuk keluar dari syarikat.
“Saya perlu bertugas di mana (sahaja) yang dihantar oleh syarikat termasuk rangkaian perniagaannya, namun pada 2020 saya balik ke semenanjung dan berhenti pada Oktober 2021.”
Dakwa diugut pengurusan dan tak dapat hubungi isteri serta anak
Jelas Razif, dia pada mulanya bimbang untuk keluar dari syarikat tersebut. Ini kerana keluarganya fanatik dengan ajaran dibawa oleh mereka dan tindakan itu boleh membuatkan dia hilang keluarga terutama anak dan isteri.
“Saya diugut oleh pengurusan syarikat dan tidak dapat berhubung dengan isteri dan anak-anak hinggalah isteri pertama saya diarahkan oleh syarikat untuk meminta fasakh seperti terjadi kepada rakan lain yang cuba keluar dari situ.
“Saya juga tidak dibenarkan bertemu dengan anak-anak. Baru-baru ini barulah saya dapat perintah mahkamah untuk melawat selepas tiga tahun tidak dapat berjumpa kerana isteri dan anak saya disorokkan,” ujarnya lagi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.