Now Reading
Polis Serbu Premis Rumah Amal GISB, Kanak-Kanak Diajar Meliwat & Diliwat

Polis Serbu Premis Rumah Amal GISB, Kanak-Kanak Diajar Meliwat & Diliwat

Menurut KPN, Tan Sri Razarudin Husain mangsa yang sakit di rumah amal GISB berkenaan turut tak dibenarkan menerima rawatan sehinggalah berada dalam keadaan kritikal.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, tular beberapa video di media sosial yang mendakwa sebuah organisasi dan syarikat Ikhwan Global Sdn. Bhd atau Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd (GISBH) terbabit dalam ajaran sesat.

Selain itu mereka juga didakwa terlibat dalam jenayah mengeksploitasi kanak-kanak dan perkara itu secara tidak langsung menarik perhatian pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Walau bagaimanapun, pihak GISB menafikan segala dakwaan dan memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis serta Jakim bagi memastikan isu tersebut diselesaikan .

BACA ARTIKEL BERKAITAN: GISBH Nafi Terlibat Ajaran Sesat, Akan Beri Kerjasama Kepada Polis & Jakim

Polis serbu rumah amal GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan

Terbaharu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihak polis telah mula melakukan siasatan dan serbuan di premis GISB.

Serbuan dilakukan menerusi Op Global dijalankan di premis GISB di sekitar kawasan Selangor serta Negeri Sembilan pada jam 6 pagi sehingga 11 pagi, semalam (11 September).

Jelasnya serbuan itu dijalankan selepas pihak polis menerima laporan pada 2 September yang lepas berkaitan dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di kediaman penjagaan yang dipercayai kepunyaan GISB di Negeri Sembilan dan Selangor.

Seramai 402 kanak-kanak diselamatkan dari rumah amal berkenaan

Susulan itu, dalam serbuan berkenaan seramai 402 kanak-kanak telah berjaya diselamatkan.

“Hasil serbuan (11 September), kita berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun.

“Sebanyak 18 premis dipercayai milik GISB diserbu dan seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun berjaya kita tahan,” ujarnya, dipetik MalaysiaKini.

Kata beliau lagi, Op Global yang dijalankan itu membabitkan seramai 705 pegawai serta anggota polis dan turut dibantu 287 kakitangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Kimia.

Syarikat itu sebelum ini dipercayai ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli kumpulan Al-Arqam yang sudah diharamkan oleh kerajaan. Namun pihak syarikat tersebut beberapa kali menafikan perkara terbabit dan mengatakan mereka tiada kaitan.

Ajar kanak-kanak meliwat adalah antara modus operandi – KPN

Dakwa Razarudin, antara modus operandi yang dibuat oleh kumpulan berkenaan termasuk mengajar kanak-kanak cara meliwat.

“Daripada risikan dan keterangan yang kita dapat, modus operandi GISB ini, mangsa-mangsa diajar meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

“Ini daripada risikan dan percakapan awal yang kita telah rakam,” kata beliau lagi.

This image has an empty alt attribute; its file name is rumah-amal-GISBH-diserbu.jpg
Foto: PDRM

Guna sentimen agama untuk raih simpati, mangsa yang sakit tak dibenarkan terima rawatan

Selain itu, menurutnya mereka turut menggunakan sentimen agama bagi mendapatkan rasa simpati untuk mendapatkan sumbangan.

Mangsa yang sakit juga tak dibenarkan menerima rawatan sehinggalah mereka dalam keadaan kritikal.

Penjaga rumah guna objek yang dipanaskan untuk cederakan mangsa

“Penjaga rumah amal juga didakwa menggunakan objek dipanaskan untuk mencederakan mangsa sebagai hukuman atas keasalahan dilakukan.

“Selain itu, bahagian tubuh mangsa disentuh oleh penjaga kononnya untuk tujuan perubatan Islam.”

Syarikat itu disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd