Remaja Di India Maut Gara-gara Doktor Palsu Guna Tutorial YouTube Untuk Lakukan Pembedahan
Doktor palsu dikenali sebagai Ajit Kumar Puri itu telah bertindak melakukan prosedur pembedahan membuang batu hempedu walaupun tanpa kebenaran keluarga mangsa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila sakit, sudah tentu anda akan pergi ke pusat perubatan seperti klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan daripada pakar.
Pun begitu, terdapat juga kes apabila ada individu menyamar dan berpura-pura menjadi seorang pakar perubatan bagi mengubati para pesakit.
Seperti satu kes sebelum ini, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menyamar sebagai doktor di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang. Difahamkan, dia telah berlakon sebagai Pegawai Perubatan Paediatrik dengan memberikan rawatan kepada pesakit serta ubat-ubatan.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Staf Petugas Kesihatan Di Hospital Serdang
Baca Artikel Berkaitan: Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Doktor Rupanya Pernah Jalani Rawatan Psikiatri
Remaja 15 Tahun Maut Selepas Dibedah Doktor Palsu
Pada Jumaat lalu (6 September), seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, Krishna Kumar dilaporkan maut akibat kelakuan tidak bertanggungjawab seorang individu yang menyamar sebagai doktor di Saran, Bihar, India.
‘Doktor’ dikenali sebagai Ajit Kumar Puri itu didakwa menggunakan tutorial yang ditonton di laman YouTube sebagai rujukan melakukan prosedur membuang batu hempedu.
Pada awalnya, remaja berkenaan dimasukkan ke sebuah klinik swasta Ganpati Seva Sadan sekitar Madhura di daerah Saran akibat mengalami gejala muntah berterusan dan sakit perut.
“Kami tempatkan dia (mangsa) di klinik dan muntah berhenti tidak lama kemudian. Tetapi doktor Ajit Kumar Puri berkata dia perlu dibedah,” kata ayah kepada mangsa, Chandan Shaw.
‘Doktor’ Rujuk Tutorial YouTube Untuk Bedah Pesakit
Menurut ahli keluarga, Puri bertindak membedah anak mereka tanpa pengetahuan atau persetujuan terlebih dahulu. Mereka turut mendakwa doktor palsu tersebut melakukan pembedahan dengan menonton video YouTube di telefon bimbitnya.
Semasa prosedur pembedahan sedang berjalan, keadaan pesakit dikatakan semakin serius dan teruk. Oleh disebabkan itu, keluarga mangsa telah memprotes, namun Puri tetap berkeras dengan meneruskan pembedahan terbabit.
“Siapa doktor di sini, saya atau awak?” kata Puri kepada keluarga remaja tersebut.
Suspek Larikan Diri Lepas Pesakit Maut
Selepas situasi dilihat semakin tidak terkawal, Puri membuat keputusan untuk membawa pesakit ke sebuah hospital di Patna menggunakan ambulans. Bagaimanapun, mangsa terbabit telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sana.
Doktor yang panik itu kemudian dengan selamba meninggalkan mayat remaja berkenaan lalu bergegas melarikan diri.
“Pada waktu petang, budak itu berhenti bernafas. Dia kembali bernafas dengan bantuan CPR dan kemudian bergegas ke (hospital sekitar) Patna. Dia kemudian maut dalam perjalanan. Mereka (Puri) meninggalkan mayat budak itu di tangga hospital dan melarikan diri,” kata atuk mangsa.
Suspek Kini Sedang Diburu
Susulan itu, keluarga pesakit telah membuat aduan terhadap Puri atas dakwaan kecuaian, melakukan amalan yang salah, membuat pembedahan tanpa kelayakan atau tiada pengalaman hingga menyebabkan mangsa maut.
Siasatan lanjut turut dijalankan terhadap staf klinik terbabit dan kini sedang dalam operasi memburu suspek. Difahamkan, prosedur bedah siasat turut dilakukan terhadap mayat mangsa.
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Atau Scammer? Pakar Ini Kongsi Cara Pastikan Tauliah Perubatan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram