Keluarga Mangsa Tanah Jerlus Masjid India Terima Sumbangan RM30,000 Dari DBKL
Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah menyerahkan wang tunai bernilai RM30,000 kepada keluarga mangsa sehari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari ini (6 September), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa keluarga mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, G Vijaya Lakshmi telah diberikan sumbangan dari pelbagai pihak.
Sumbangan itu diberikan sebelum mereka bergerak pulang ke India pada 1 September lalu.
Memetik laporan Berita Harian, antara yang turut menghulurkan sumbangan adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak korporat.
Astro Awani pula melaporkan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah menyerahkan wang tunai bernilai RM30,000 kepada keluarga mangsa sehari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.
Jelasnya, wang yang diberikan itu adalah sumbangan ikhlas dan bukannya pampasan.
“Ingin saya jelaskan di sini, ini bukan pampasan, ini adalah sumbangan ihsan daripada DBKL kepada keluarga mangsa,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Cadangan Pemberian Pampasan Kepada Ahli Keluarga Akan Dibincangkan
Memetik laporan Astro Awani pada 1 September, Dr Zaliha akan membawa cadangan melibatkan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 4 September.
Jelasnya lagi, kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan pemberian pampasan selepas operasi SAR pencarian wanita warga India berusia 48 tahun itu dihentikan selepas sembilan hari.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menjelaskan bahawa laporan geoteknikal yang disediakan oleh konsultan bertauliah perlulah disertakan untuk semua permohonan kebenaran merancang pembinaan di ibu kota.
“Syarat ini terpakai kepada permohonan yang sudah ada kelulusan tetapi arahan pembangunan belum dikeluarkan, serta permohonan yang masih dalam proses dan permohonan yang akan dikemukakan. Langkah ini akan dilaksanakan serta-merta,” ujar beliau.
Kejadian Tanah Jerlus Di Jalan Masjid India
Sebelum ini, Vijaya Lakshmi telah terjatuh ke dalam lubang benam yang menyebabkan dirinya juga tertimbus ke dalam tanah.
Sewaktu kejadian, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong sebelum suara itu terus ‘lesap’ dari pendengarannya.
Kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi itu tidak menunjukkan sebarang petanda buruk di lokasi kejadian sebelum tragedi tidak diingini itu berlaku.
Susulan kejadian, pasukan penyelamat yang terdiri daripada beberapa agensi telah bertungkus-lumus melakukan SAR. Namun selepas sembilan hari, operasi pencarian ditamatkan meskipun mangsa tidak ditemui.
Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Mangsa Kes Tanah Jerlus Lakukan Upacara Agama Sebelum Bertolak Pulang Ke India
Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat
Baca Artikel Berkaitan: Syarikat Dari Singapura Tawar Bantuan Cari Wanita Terjelus Di Masjid India Secara Percuma
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.