Now Reading
Buaya Tembaga Sesat Di Taman Tasik Shah Alam Seksyen 7 Sudah Ditangkap

Buaya Tembaga Sesat Di Taman Tasik Shah Alam Seksyen 7 Sudah Ditangkap

Pengarah Perhilitan memaklumkan bahawa sang buaya di Tasik Shah Alam Seksyen 7 memasuki perangkap yang dipasang sekitar jam 10.20 malam tadi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Selasa lalu (3 September), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika beriadah di Tasik Shah Alam Seksyen 7 susulan kelibat seekor buaya.

Selepas tular satu hantaran di grup Facebook Shah Alam Residen tentang buaya itu, Pengarah Korporat MBSA Azhar Sharif memaklumkan bahawa pita keselamatan telah dipasang di sekitar tasik bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Dalam menjayakan operasi menangkap sang bedal oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sebarang aktiviti berjoging dan memancing adalah tidak dibenarkan sementara waktu di lokasi kejadian bermula 8 malam (4 September) hingga 7 pagi.


Buaya Berjaya Ditangkap Kurang Dari 24 Jam

Terkini, buaya di Taman Tasik Seksyen 7 berjaya ditangkap kurang dari 24 jam memulakan operasi penangkapan.

Menurut Pengarah Perhilitan Selangor Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh, buaya terbabit dikesan memasuki perangkap sekitar jam 10.20 malam semalam (4 September).

“Buaya yang kita selamatkan malam ini adalah buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter berusia sekitar tiga hingga lima tahun dengan anggaran berat 15 hingga 20 kilogram.

“Ini adalah operasi menyelamatkan buaya paling pantas yang kita lakukan kerana tidak sampai tempoh 24 jam perangkap dipasang, ia sudah memakan umpan segar yang kita letak,” kata Wan Mohd Adib.


Suasana Sunyi Sekitar Tasik Penyebab Buaya Masuk Dalam Perangkap

Tambah Wan Mohd Adib, tindakan MBSA yang menutup kawan tasik pada waktu malam mendorong sang bedal untuk memasuki perangkap dipasang atas faktor kawasan sekeliling yang sunyi dan tiada gangguan.

Dalam pada itu, Perhilitan juga akan meminta MBSA untuk menutup kawasan taman tasik dari kehadiran pengunjung bagi tempoh satu ke dua hari lagi bagi membolehkan pihak berkuasa memantau selain memastikan tiada lagi haiwan reptilia berkenaan di lokasi sama.

“Buaya ini kita akan pindahkan ke Paya Indah Wetlands malam ini juga,” jelas beliau.

Sumber: MBSA

Banjir Kilat Mungkin Punca Buaya Sesat

Operasi mengangkat naik perangkap buaya berkenaan bermula jam 11.25 malam manakala kerja mengeluarkan buaya daripada perangkap selesai sepenuhnya pada 12.05 tengah malam.

Terdapat dua perangkap digunakan bagi menangkap haiwan berbahaya itu. Sementara itu, operasi ini turut disertai 20 anggota masing-masing dari Perhilitan dan MBSA.

Difahamkan, hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku baru-baru ini mungkin antara punca sang buaya sesat di kawasan tasik.

Baca Artikel Berkaitan: Kelibat Buaya Di Tasik Shah Alam, MBSA Minta Orang Ramai Berhati-hati


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd