Now Reading
“Agak Menyedihkan” – Pakar Bahasa Ulas Isu Rakyat Malaysia Masih Tak Reti Berbahasa Melayu

“Agak Menyedihkan” – Pakar Bahasa Ulas Isu Rakyat Malaysia Masih Tak Reti Berbahasa Melayu

Menurut pakar bahasa Prof Emeritus Dr Teo, bahasa Melayu boleh pupus sekiranya rakyat Malaysia mengagungkan bahasa lain seperti bahasa Inggeris.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui, setiap penduduk di Malaysia didedahkan dengan pelbagai bahasa sejak usia muda dan di peringkat sekolah awal terutamanya bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Pun begitu, masih ada segelintir rakyat tempatan yang masih tidak fasih berbahasa Melayu atau lebih teruk lagi tidak memahami jika ada orang lain yang bertutur dalam bahasa tersebut.

Dalam sesetengah kes, ramai juga di kalangan orang ramai yang lebih memilih untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam rutin harian sehingga melupakan bahasa ibunda.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Rakyat Malaysia Lupa Bahasa Ibunda, Cenderung Berbahasa Inggeris – Warga Jerman [Video]


Warga Malaysia Perlu Guna Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Utama

Menyedari masalah ini, pakar bahasa Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata pihak kerajaan perlu lebih tegas demi memartabatkan bahasa Melayu dengan memastikan penggunaannya diutamakan oleh rakyat Malaysia dan juga dalam setiap majlis rasmi.

Jelas beliau, sekiranya seseorang individu tidak memahami Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan paling utama dalam negara, maka tiada maknanya dia dianggap sebagai warga tempatan.

“Saya kira sekarang ini ada keperluan tarbiah hal macam ini kepada masyarakat dan pemimpin kerana pemimpin pun tidak faham. Kadang-kadang kita dapati komen daripada menteri Cina pun tidak betul sebab mereka tidak faham mengenai dasar bahasa di negara kita.

“Kita tidak nafikan keperluan bahasa lain contohnya bahasa Inggeris sebab ia bahasa antarabangsa, malah kita juga akui kehebatan bahasa Cina Mandarin itu antara bahasa terbesar di dunia dan bahasa kebangsaan di China.

“Tetapi dalam negara kita, martabat dan taraf bahasa Mandarin itu cuma sebagai bahasa sukuan orang Cina yang penting dalam ranah kekeluargaan dan komuniti Cina saja begitu juga bahasa Tamil.

“Jadi, semua pihak perlu faham dan hormati perlembagaan bahawa bahasa Melayu ini bahasa utama kita. Dalam erti kata lain semua wajib tahu bahasa Melayu jika tidak, apalah maknanya dikatakan rakyat Malaysia kalau tidak tahu berbahasa Melayu,” kata beliau, lapor Harian Metro.


Bahasa Melayu Boleh Pupus Jika Dikuasai Bahasa Lain

Mengulas lanjut, Dr Teo mendapati penggunaan bahasa Melayu masih lemah walaupun sudah mencapai 67 tahun kemerdekaan dari penjajah. Menurut beliau, ada juga acara rasmi kerajaan yang perlu dilakukan dalam tiga bahasa berlainan.

Dr Teo yang juga merupakan Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) menegaskan bahawa bahasa Melayu bakal pupus dan dikuasai oleh bahasa lain sekiranya situasi sama berpanjangan dan tiada langkah pencegahan dilakukan.

“Memang agak menyedihkan sudah 67 tahun usia kemerdekaan Malaysia tetapi kita masih tidak merdeka dari segi penggunaan bahasa Melayu.

“Kita masih dijajah apabila minda kita masih terkongkong dalam erti kata kita agungkan bahasa lain macam bahasa Inggeris bukan salah orang putih tetapi kita sendiri yang mengada-ngada sedangkan bukan tidak boleh (guna bahasa lain) tetapi perlu berpada-pada dan tengok keadaan.

“Jika berterusan macam sekarang, bahasa Melayu akan pupus bukan hilang selama-lamanya tetapi beralih daripada bahasa utama kepada bahasa kecil dan tidak penting kerana ranahnya diambil alih bahasa lain,” ujar pakar bahasa itu.


PMX Perlu Lebih Tegas Angkat Martabat Bahasa Melayu

Berbicara mengenai perkara ini dengan lebih mendalam, Dr Teo menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lebih tegas mengangkat bahasa kebangsaan ini sebagaimana Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lakukan terdahulu.

Dr Teo berkata bahawa Ismail Sabri sebelum ini pernah berucap dalam bahasa Melayu sewaktu majlis penting Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).


Memartabatkan Bahasa Melayu Boleh Tingkatkan Perpaduan Masyarakat

Jika diteliti dari sudut yang lain, penggunaan bahasa Melayu juga boleh mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat di Malaysia.

“Bahasa Melayu boleh menjadi elemen perpaduan baik untuk menyatukan masyarakat kita yang berbilang kaum dan bangsa contohnya kejayaan Indonesia mengikat rakyatnya yang pelbagai kaum dengan menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa nasional mereka.

“Kita juga pernah guna nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, tetapi sayangnya sikap kita sama saja, malah ada agensi kerajaan sendiri guna bahasa lain dalam program mereka jadi kalau mereka tidak memberi contoh baik jangan salahkan pihak swasta tidak gunakan bahasa Melayu.

“Seharusnya pemimpin perlu tegas dalam hal ini terutama program dianjurkan kementerian mesti guna bahasa Melayu seperti mana termaktub dalam Pekeliling Pemerkasaan Penggunaan bahasa kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam pada 2020,” ulas Dr Teo.

Baca Artikel Berkaitan: PIBG, Lembaga Sekolah SMJK & SMC Bantah Pelaksanaan Satu Kelas Guna BM Sebagai Bahasa Pengantar

Baca Artikel Berkaitan: Warganegara Malaysia Wajib Kuasai & Fasih Bahasa Melayu – Saifuddin


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd