Keluarga Mangsa Kes Tanah Jerlus Lakukan Upacara Agama Sebelum Bertolak Pulang Ke India
Sewaktu upacara tersebut berlangsung, ahli keluarga Vijaya Lakshmi dilihat mengambil segumpal tanah dipercayai untuk dibawa pulang ke India.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 31 Ogos lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India, Vijaya Lakshmi, 48, yang terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India telah ditamatkan serta-merta selepas berusaha selama sembilan hari.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, keputusan itu diambil atas beberapa faktor termasuklah isu keselamatan anggota penyelamat dan risiko mendapan tanah.
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan keselamatan orang awam terjamin dengan meneruskan fasa ‘search and recovery’.
Ahli Keluarga Mangsa Adakan Upacara Keagamaan Sebelum Pulang Ke India
Insiden ini sememangnya memberi kesan kepada ramai pihak khususnya ahli keluarga yang menunggu berita kepulangan wanita berkenaan. Terpaksa akur dengan takdir, ahli keluarga mangsa mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air pada Ahad, sehari selepas SAR dihentikan.
Mereka juga mengambil kesempatan untuk melakukan upacara keagamaan di lokasi kejadian buat kali terakhir sebelum berangkat pulang.
Seterusnya, mereka turut menyalakan lampu minyak dan membunyikan loceng sebagai sebahagian daripada upacara ritual Hindu tersebut.
Selain itu, ahli keluarga terbabit juga dilihat mengambil segumpal tanah dan memasukkan ia ke dalam beg plastik dipercayai untuk dibawa pulang ke India.
Memetik Sinar Harian, mereka semua bertolak ke India jam 5 petang, 31 Ogos.
Cadangan Pemberian Pampasan Kepada Ahli Keluarga Akan Dibincangkan
Susulan insiden menyayat hati ini, Dr Zaliha Mustafa berkata cadangan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini (4 September).
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menjelaskan bahawa laporan geoteknikal yang disediakan oleh konsultan bertauliah perlulah disertakan untuk semua permohonan kebenaran merancang pembinaan di ibu kota.
“Syarat ini terpakai kepada permohonan yang sudah ada kelulusan tetapi arahan pembangunan belum dikeluarkan, serta permohonan yang masih dalam proses dan permohonan yang akan dikemukakan. Langkah ini akan dilaksanakan serta-merta,” ujar beliau.
Orang Ramai Diminta Beri Kerjasama Sepanjang Proses Kerja Pembaikan
Dr Maimunah dalam masa sama menasihati masyarakat agar mematuhi arahan dan memberi kerjasama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang kerja-kerja pembaikan beroperasi di kawasan terbabit.
Terdahulu, Vijaya Lakshmi dilaporkan hilang selepas dia terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India berhampiran bangunan Malayan Mansion.
Difahamkan, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong semasa kejadian sebelum suara itu terus ‘lenyap’ dari telinganya.
Pelbagai cara dan inisiatif dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengesan mangsa sebagai contoh kaedah flusing, anjing pengesan (K9), pertolongan unit skuba, alat pengesan bawah tanah dan banyak lagi namun Vijaya masih belum ditemui.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Peniaga Sekitar Jalan Masjid India Alami Kerugian, Pengunjung Kurang Akibat Kes Tanah Jerlus
Baca Artikel Berkaitan: Belum Masanya Wartakan Jalan Masjid India Sebagai Zon Tidak Selamat, Kata Ketua Polis Negara
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram