Now Reading
Pendaki Wanita Meninggal Dunia Di Gunung Kinabalu, Alami Kesejukan Melampau

Pendaki Wanita Meninggal Dunia Di Gunung Kinabalu, Alami Kesejukan Melampau

Pendaki wanita itu berada dalam keadaan lemah di kilometer 7.1, Sayat-Sayat (Conrad Labi) sebelum menerima bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (29 Ogos), seorang pendaki wanita dilaporkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan menuruni puncak Gunung Kinabalu, Kundasang.

Mangsa warga tempatan berusia 54 tahun itu dimaklumkan mengalami kesejukan dan berada dalam keadaan lemah di kilometer 7.1, Sayat-Sayat (Conrad Labi) Gunung Kinabalu.

Memetik Utusan Borneo, keadaan tersebut dipanggil sebagai hipotermia iaitu kesejukan melampau.

Sumber: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia

Mangsa Diberikan Bantuan CPR & AED

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Penolong Penguasa Bomba Ridwan Mohd Taib, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut jam 11.24 pagi.

Jelas beliau, SAR Taman-Taman Sabah termasuk malim yang bertugas telah bertindak menghubungi serta memohon bantuan tambahan kakitangan Taman Sabah selain Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, enam MOSAR digerakkan ke lokasi dan bantuan lanjut diberikan kepada mangsa di pusat rawatan Panalaban.

“Mangsa kemudian dibawa ke ‘Sick Bay Panalaban’ untuk rawatan termasuk bantuan lanjut oksigen dan memberi bantuan pernafasan (CPR) dengan bantuan menggunakan Automated External Defibrillator (AED).

“Disebabkan mangsa masih tidak sedarkan diri, mangsa diusung dan dibawa turun ke Pintu Timpohon dengan menggunakan ‘Neil Robertson strecher’ oleh pasukan MOSAR serta di bantu oleh SAR HAT dan Malim,” tambah Ridwan Mohd Taib.


KKM Sahkan Mangsa Meninggal Dunia

Sejurus tiba di Timpohon Gate, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi telah ditamatkan sepenuhnya jam 8.35 malam.

Baca Artikel Berkaitan: Pendaki Malaysia Maut Di Gunung Mera Peak, Nepal


Lelaki Berusia 52 Tahun Maut Akibat Mati Mengejut Di Gunung Kinabalu

Terdahulu, kes kematian melibatkan pendaki Gunung Kinabalu pada tahun ini pernah dilaporkan berlaku.

Pada 11 Jun lalu, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan maut ketika berada dalam jarak 200 meter dari puncak Gunung Kinabalu.

Bantuan CPR yang diberikan dengan kadar segera juga gagal menyelamatkan mangsa. Kes berkenaan kemudian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simiun Lomudin dalam masa sama menasihatkan orang ramai untuk merancang dan memastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat sebelum mendaki Gunung Kinabalu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd