“Rasa Allah Ada Dengan Saya” – Lelaki Peluk Islam Lepas Selamat Dari Insiden Tanah Jerlus Di Masjid India
Lelaki yang memasuki Islam selepas tragedi tanah jerlus di Masjid India itu merupakan individu berusia 48 tahun dikenali sebagai Kalidass atau nama Islamnya Haridath.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada Jumaat lalu (23 Ogos), seorang pelancong wanita dari India, Vijaya Lakshmi, 48, dilaporkan terjatuh dan tertimbus di dalam lubang sedalam enam meter di Masjid India, Kuala Lumpur.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan insiden tanah jerlus yang masih berlangsung sehingga hari ini (29 Ogos) di lokasi itu masih belum berakhir apabila mangsa tidak dijumpai lagi oleh pihak penyelamat.
Namun, pihak anggota bomba tidak patah semangat untuk terus mencari mangsa meskipun terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran yang agak mencabar.
Baca Artikel Berkaitan: “Takut Tapi Kena Lawan” – Anggota Bomba Kongsi Pengalaman Terlibat Operasi SAR Mangsa Tanah Jerlus
Individu Peluk Islam Selepas Terselamat Dari Insiden Tanah Jerlus Di Masjid India
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pertubuhan bukan kerajaan ini mengesahkan berita tular tentang pengislaman seorang lelaki berikutan tragedi tanah jerlus di Masjid India.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin memaklumkan bahawa seorang lelaki telah memasuki Islam di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
“ABIM mengesahkan bahawa saudara baru tersebut memeluk Islam di bawah kelolaan IOA Masjid Negara pada hari Isnin lalu,” jelas ABIM.
Berbicara tentang menganut agama, ABIM menegaskan bahawa setiap manusia mempunyai hak dan fitrah semula jadi untuk beragama.
“Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, ‘Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan’ seperti mana yang dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat ke-256,” kata ABIM.
Pada masa yang sama, ABIM menzahirkan rasa simpati buat keluarga mangsa dan juga mendoakan agar operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India akan dipermudahkan.
Individu Peluk Islam Yakin Allah SWT Ada Dengannya
Menerusi laporan Kosmo yang memetik sumber dari hantaran tular di Facebook, lelaki berusia 48 tahun yang memeluk agama Islam itu dikenali sebagai Kalidass atau nama Islamnya Haridath.
Individu berkenaan dikatakan membuat keputusan untuk memeluk agama Islam selepas terselamat daripada menjadi mangsa insiden tanah jerlus.
Kalidass menganggap dirinya telah diselamatkan oleh Allah SWT yang ada bersamanya.
“Dia benar-benar yakin dengan adanya Allah SWT dan Allah SWT telah menyelamatkan dia dari ditelan bumi.
“Maka dia terus yakin yang Allah SWT sayangkan dia dan dia mesti masuk Islam dan menjadi seorang muslimin,” tulis hantaran itu.
Pada mulanya, Haridath telah hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum diminta untuk ke pejabat ABIM di Masjid Negara bagi membolehkan proses pengislaman diriya dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Pengislaman lelaki itu membuatkan orang di sekelilingnya berasa terharu dan detik itu turut membuatkan Haridath berlinang air mata.
“Masya-Allah kami semua berasa terharu dengan hidayah yang Allah SWT campakkan kepada beliau serta-merta.
“Dia telah memilih nama barunya. Berumur 48 tahun dan masih bujang. Ibu bapanya sudah meninggal dunia. Dia betul-betul terharu bila kita peluk dia selepas dia mengucap syahadah, berlinang air mata,” katanya.
Kejadian Tanah Jerlus Di Jalan Masjid India
Sebelum ini, Vijaya Lakshmi telah terjatuh ke dalam lubang benam yang menyebabkan dirinya juga tertimbus ke dalam tanah.
Sewaktu kejadian, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong sebelum suara itu terus ‘lesap’ dari pendengarannya.
Kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi itu tidak menunjukkan sebarang petanda buruk di lokasi kejadian sebelum tragedi tidak diingini itu berlaku.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap
Baca Artikel Berkaitan: Ahli Geosains Jelaskan Tentang Formasi Batu Kapur Di Kuala Lumpur
Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.