Now Reading
“Lantai Basah & Licin” – Pelancong Asing Beri Skor 5/10 Untuk Tahap Keselesaan Tandas Awam Di Malaysia

“Lantai Basah & Licin” – Pelancong Asing Beri Skor 5/10 Untuk Tahap Keselesaan Tandas Awam Di Malaysia

Selain masalah lantai yang basah, seorang pelancong dari Itali berkata kebanyakan tandas di bandar Kuala Lumpur tidak menyediakan tisu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila berada di luar kawasan rumah atau sedang melancong ke sesuatu negara sudah tentu kita menitikberatkan aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan kemudahan awam sebagai contoh tandas.

Memang tidak dapat dinafikan, sesetengah lokasi tandas di Malaysia dilihat agak tidak berkualiti. Pun begitu, terdapat banyak juga tandas yang selesa dan dijaga dengan baik oleh pihak pengurusan.

Sebelum ini, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) pernah memenangi anugerah Toilet of The Year Award 2023 untuk kategori R&R bagi seluruh lebuh raya.

Pencapaian itu diterima hasil daripada tahap kebersihan tandas yang cemerlang. Malah ada seorang influencer dari negara jiran Indonesia turut memuji kebersihan tandas awam R&R di negara ini.

Baca Artikel Berkaitan: “Macam Mall” – Influencer Indonesia Kagum Lihat Tandas Awam Di Hentian Lebuh Raya Malaysia Bersih [Video]


Pelancong Asing Beri Skor 5/10 Bagi Tahap Kualiti Tandas Di Malaysia

Tetapi apakah pandangan dan persepsi orang ‘jauh’ pula tentang keadaan tandas awam di negara ini?

Dalam satu tinjauan dilakukan oleh Sinar Harian, rata-rata pelancong asing yang berada di Malaysia berpendapat bahawa tandas awam sekitar bandar Kuala Lumpur berada di tahap sederhana.

Sumber: WilayahKu

Hampir separuh daripada 12 pelancong asing yang ditemu bual memberi skor 5/10 untuk kemudahan tandas awam di ibu kota. Antara isu yang diketengahkan tentang tandas ini adalah keadaan lantai yang basah dan licin serta kebersihan yang tidak dipantau.

Bukan itu sahaja, ketiadaan tisu juga merupakan faktor mengapa ramai pelancong asing tidak memberikan markah yang tinggi.


Enggan Pergi Ke Tandas Awam Selama 4 Hari Kerana Tak Selesa

Menurut seorang pelancong dari Itali, Flavio Sartorelli, 33, dia masih belum menjejakkan kaki ke tandas awam kerana berasa kurang selesa walhal sudah berada di Malaysia selama empat hari.

“Saya tak pernah guna tandas awam seperti di stesen minyak dan kedai makan kerana keadaan lantai basah serta tiada tisu tandas. Setakat ini saya hanya gunakan tandas di tempat penginapan atau pusat beli-belah yang lebih bersih,” katanya.

Sumber: Freepik

Tambah Flavio, keadaan tandas di Malaysia agak berbeza jika dibandingkan dengan di negara Eropah kerana mempunyai kemudahan pili air.

“Agak kekok juga kerana tandas di Malaysia berbeza dengan negara Eropah seperti penggunaan pili air berbanding bidet atau tisu tandas.

“Pili air tidak menjadi masalah besar kerana saya boleh belajar menggunakannya, tetapi tisu kena sentiasa bawa kerana tidak semua tandas ada,” kata Flavio.

Jelas lelaki berkenaan, kebanyakan tandas di Malaysia adalah bersih namun boleh diperbaiki dari aspek lantai yang basah dan licin. Sementara itu, pelancong ini juga berharap agar lebih banyak papan tanda arah lokasi tandas awam disediakan untuk memudahkan pelancong asing.


Pelancong Dari Jepun Menyifatkan Sesetengah Tandas Di Restoran Adalah ‘Menakutkan’

Tahap kebersihan ini juga mengambil kira pendapat dari seorang pelancong dari Jepun yang dikenali sebagai Kayo. Kayo menyifatkan sesetengah tandas di premis makanan agak ‘menakutkan’.

“Ia mungkin sudah menjadi budaya di Malaysia dan kita tidak boleh pertikaikan namun saya tak biasa kerana di Jepun tidak seperti itu (basah).

“Kebersihan tandas di Jepun pada tahap nombor satu namun jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang telah dilawati, saya berpandangan tandas di sini masih di tahap baik dan kualitinya boleh diperbaiki lagi,” jelas Kayo.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Facebook Tandas Paling Kotor

Tandas Di China Akan Diganti Pada Setiap Beberapa Tahun Untuk Elak Berbau

Dalam pada itu, seorang pelancong yang berasal dari Yemen dan kini bermastautin di China dikenali sebagai Mohamed Muaadh Alkahtani berpendapat tandas di Malaysia tidak setanding tandas di negara tembok besar itu.

“Di China, tandas akan diganti setiap beberapa tahun kerana ia berkait aspek kebersihan selain akan menyebabkan tandas berbau. Naik taraf tandas perlu diberi tumpuan terutama di dalam restoran serta taman awam seperti zoo dan kawasan rehat,” katanya.

Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa keadaan tandas sebegitu bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga beberapa negara lain pernah dikunjungi.

“Daripada 10, saya beri markah lima untuk tandas di Malaysia manakala di negara Arab, tiga markah sementara di China kualiti tandas berada di tahap lapan,” ujar Mohamed.

Baca Artikel Berkaitan: Reka Tandas Pelajar Lelaki Versi ‘Open Air’, Idea Kreatif Guru Di Johor Raih Pujian Netizen

Baca Artikel Berkaitan: Tandas Awam Di Beijing Pasang Timer, Elak Individu Guna Telefon Sambil ‘Buang Hajat’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd