[Video] Lelaki Didakwa Curi Beg Tangan Di Ruang Tamu Rumah, Polis Sedang Kesan Suspek
Pengadu mengalami kerugian sebanyak RM5,500 selepas beg tangannya dicuri di ruang tamu rumah di Taman Melati, Kuala Lumpur.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semakin hari, banyak kes jenayah yang dilaporkan berlaku di Malaysia. Tidak kiralah pada waktu siang atau malam, ada sahaja niat jahat yang dirancang oleh sesetengah individu.
Bukan sahaja di luar rumah, malah ketika berada dalam kediaman sendiri juga tidak memberi jaminan bahawa penjenayah tidak akan datang mengganggu.
Lebih membimbangkan apabila jenayah yang dilakukan boleh meragut nyawa atau menyebabkan kecederaan kepada mangsa terlibat.
Individu Pecah Masuk Rumah Di Taman Melati
Menerusi rakaman video CCTV yang dimuat naik semula di laman X (@mynewshub), ia memperlihatkan satu kejadian di mana seorang lelaki didakwa telah mencuri beg tangan di ruang tamu rumah.
Kejadian itu yang berlaku pada 24 Ogos menunjukkan seorang lelaki memberhentikan motosikalnya di hadapan pagar sebuah rumah.
Namun gerak tubuh badannya itu mempamerkan dirinya seperti agak mencurigakan kerana dia dilihat memerhatikan kawasan sekeliling dan sempat memandang ke arah kamera litar CCTV.
Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan cuba untuk membuka pintu pagar rumah berkenaan sebelum berjaya memasuki kediaman terbabit.
Polis siasat video tular lelaki didakwa curi beg tangan di ruang tamu rumah
— MYNEWSHUB (@mynewshub) August 26, 2024
Oleh Farwizah Samsudin -August 26, 2024
POLIS mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes kecurian di sebuah rumah dekat Taman Melati, Kuala Lumpur pada 9 malam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah… pic.twitter.com/8ALxHTiML7
Polis Sedang Kesan Individu Tersebut
Memetik laporan Utusan TV, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan daripada pengadu berusia 49 tahun.
Kejadian itu berlaku di sebuah kawasan perumahan di Taman Melati, Kuala Lumpur dan menyebabkan beg tangan milik pengadu yang bekerja sebagai pembantu jualan hilang dicuri oleh individu tersebut.
Kehilangan beg tangan di ruang tamu rumahnya itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM5,500.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Netizen Bengang Lihat Individu Pecah Masuk Rumah
Rata-rata masyarakat yang menonton video tersebut meluahkan rasa tidak puas hati selepas melihat rakaman CCTV yang menunjukkan aksi individu didakwa pecah masuk rumah seseorang.
Ramai yang beranggapan perbuatan tersebut seolah-olah telah memerangkap diri sendiri kerana wajah lelaki tersebut boleh dilihat secara jelas di dalam kamera CCTV.
“Bebalnya. Ada CCTV pun berani lagi buat kerja. Memang bebal,” kata seorang pengguna X.
Pada masa yang sama, orang ramai turut berharap agar pihak polis dapat segera menangkap lelaki tersebut.
Memandangkan semakin banyak kes tidak diingini berlaku, kami nasihatkan anda untuk memastikan kawasan rumah terumanya pagar dan pintu kediaman dikunci dengan baik agar tidak mudah dimasuki oleh penjenayah.
Untuk mengukuhkan lagi keselamatan keluarga, digalakkan untuk memasang kamera litar CCTV bagi membolehkan anda membuat pengawasan atau dijadikan bukti sekiranya berlaku kes tidak diingini.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Geng Tasha’ Diketuai Wanita Berumur 25 Tahun Diberkas Polis, Aktif Dengan Kegiatan Pecah Rumah
Baca Artikel Berkaitan: Pencuri Mabuk & Tertidur Ketika Pecah Masuk Rumah Di Negeri Sembilan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.