Now Reading
Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat

Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Dr Maimunah, kajian awal Geosains Malaysia (JMG) mengesahkan tanah di lokasi insiden adalah selamat dan sesuai untuk pembangunan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jumaat lalu (23 Ogos), masyarakat digemparkan dengan kejadian tanah mendap yang berlaku berhampiran Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Seorang mangsa wanita warga India Vijaya Lakshmi, 48, terjatuh dan tertimbus di dalam lubang benam sedalam kira-kira enam meter itu.

Difahamkan, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong semasa kejadian sebelum suara itu terus senyap dari telinganya. Sehingga ke hari ini (26 Ogos), operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih lagi diteruskan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap


Kawasan Jalan Masjid India & KL Selamat Dikunjungi

Semalam (25 Ogos), Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, satu pasukan terdiri daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah ditubuhkan.

Pasukan khas terbabit berfungsi bagi mengkaji struktur tanah di sekitar kawasan Masjid India.

Menurut Dr Maimunah, kajian awal pihak JMG mengesahkan tanah di lokasi insiden adalah selamat dan sesuai untuk aktiviti pembangunan.

“Saya mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama agensi sahabat sebentar tadi dan berdasarkan kepada maklumat diperoleh, situasi sekitar Jalan Masjid India dan Kuala Lumpur amnya adalah terkawal serta selamat untuk dikunjungi.

“Warga kota juga boleh meneruskan rutin harian seperti biasa. DBKL mengaktifkan task force (pasukan khas) bersama pakar dalam bidang SAR termasuk JMG bagi menyemak dan melihat kawasan ini serta seluruh Kuala Lumpur,” ujar beliau.


Dakwaan KL Tidak Selamat Perlu Disertakan Kajian

Tambah Dr Maimunah, setiap dakwaan di platform media sosial yang mengatakan Kuala Lumpur adalah tidak selamat dan berpotensi berlaku ‘giant sinkhole’ perlulah disertakan bukti dan disokong kajian terperinci.

“Saya berpendapat Kuala Lumpur ini sudah lama dibina dan selama ini ia selamat. Oleh itu kalau nak mengatakan tidak selamat mestilah menunjukkan bukti dan kajian yang terperinci,” jelas beliau.

Sumber: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Berbicara mengenai operasi pencarian, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata, pihaknya akan mengutamakan keselamatan pasukan lebih-lebih lagi anggota Unit Skuba yang terdedah kepada gas berbahaya di dalam lurang kumbahan.

Pasukan terbabit dibantu alat breathing metabolic simulator (BMS) bagi menyokong mereka semasa berada di dalam kawasan pencarian berkenaan.


Kaedah Flushing Masih Tidak Berjaya

Selepas usaha pencarian menggunakan anjing pengesan dan unit skuba masih gagal, kaedah ‘flushing’ pula digunakan bagi mencari mangsa.

Kaedah flushing yang dijalankan sebanyak dua kali oleh Indah Water Konsortium (IWK) secara berperingkat bermula petang semalam bagaimanapun masih belum menunjukkan hasil dan gagal mengesan mangsa.

“Pada sebelah malam pula, pihak IWK telah memulakan flushing yang dilaksanakan di manhole (lurang kumbahan) 5 dan mengambil masa sehingga jam 2 pagi tadi,” jelas pihak DBKL, lapor MalaysiaGazette.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd