Pasar Raya Di Negeri Sembilan Tidak Dibenar Caj 20 Sen Untuk Beg Plastik, Penduduk Negeri Lain Buat Perbandingan
Para peniaga di Negeri Sembilan boleh menyediakan beg plastik jenis biodegrasi atas permintaan, namun tidak boleh mengenakan caj 20 sen.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
“Nak beg plastik ya”.
Itu adalah ungkapan yang biasa kita dengar setiap kali membeli barangan di mana-mana premis dan ia disusuli dengan caj tertentu yang ditetapkan mengikut kedai.
Buatnya premis tersebut tiada beg plastik dan hanya menyediakan beg kertas, pastinya harga caj adalah minimum RM0.50 atau RM1.
Negeri Sembilan Larang Peniaga Kenakan Caj 20 Sen Untuk Beg Plastik
Tetapi lain pula situasi yang berlaku di Negeri Sembulan apabila semua pasar raya serta peniaga di negeri terbabit tidak lagi dibenarkan untuk meminta caj 20 sen bagi penyediaan beg plastik kepada para pelanggan.
Walau bagaimanapun, masih wujud pihak yang mengenakan caj berkenaan termasuklah beg alternatif yang dibenarkan iaitu jenis plastik biodegradasi.
Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polesterina dan penyedut minuman di negeri tersebut sudah dikeluarkan sejak Oktober 2022.
Namun, para peniaga boleh menyediakan beg plastik jenis biodegrasi atas permintaan.
“Tiada caj boleh dikenakan kepada pelanggan ke atas penyediaan atau pemberian beg plastik jenis biodegradasi yang dibekalkan secara sukarela oleh pemegang lesen perniagaan,” katanya.
Peniaga yang masih menggunakan beg plastik jenis yang membahayakan manusia dan haiwan seperti oxo-degradable atau jenis photodegradable boleh dibatalkan lesen dan dikompaun RM250 serta dibawa ke mahkamah jika gagal membayar denda.

Masyarakat Luar Negeri Sembilan Persoal Caj Beg Plastik Yang Dikenakan Di Negeri Mereka
Tindakan Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan itu mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai di media sosial.
Rata-ratanya mempersoalkan mengapa caj tersebut dikenakan di negeri-negeri lain termasuklah Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Berdasarkan pemerhatian di ruangan komen, sesetengah individu mendakwa bahawa caj untuk beg plastik di sekitar Selangor adalah dalam lingkungan 20 sen setiap satu manakala Pulau Pinang pula mengenakan caj lima kali ganda iaitu berjumlah RM1.

Rata-rata premis di Kuala Lumpur juga mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik kecuali peniaga-peniaga di tepi jalan yang menyediakannya secara percuma.
Sementara itu, tindakan PBT Negeri Sembilan yang melarang peniaga mengenakan caj untuk beg plastik turut menerima pujian masyarakat.


Kalau anda mempunyai banyak ‘shopping bag’ di rumah, apa salahnya untuk meletakkan satu atau dua beg tersebut di dalam kereta?
Apabila mahu keluar membeli barangan dapur di pasar raya, boleh bawa keluar beg itu untuk digunakan.
Dengan cara tersebut, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan penggunaan beg plastik.
Selangor Catat RM38 Juta Hasil Daripada Caj Beg Plastik
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin pula berkata kerajaan Negeri Selangor telah mencatatkan kutipan caj beg plastik 20 sen berjumlah RM38 juta untuk tempoh 2020 sehingga 2023.

Hasil kutipan tersebut kemudiannya digunakan untuk usaha memulihkan alam sekitar termasuklah projek kebun komuniiti, memperbanyakkan tanaman pokok dan pemasangan lampu solar.
Kajian terhadap kesedaran alam sekitar yang dilaksanakan dengan kerjasama Merdeka Centre menunjukkan penambahbaikan terhadap kesedaran orang ramai menerusi kempen caj beg plastik 20 sen.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Setiap Kod Plastik Mempunyai Tujuan Tertentu, Jangan Silap Pilih Untuk Simpan Makanan & Minuman
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Dedah Pencemaran Plastik Boleh Jadi Penyebab Dapat Penyakit
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.