Kes Bunuh Nuraina Humaira: Berduka Dengan Pemergian Anak Sulung, Bapa Enggan Tengok Muka Suspek
Menurut bapa Nuraina Humaira, dia masih terkejut dan trauma manakala si isteri sedang berusaha sedaya upaya untuk mengawal perasaan ekoran insiden menimpa anak.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bapa kepada kanak-kanak perempuan Orang Asli dikenali sebagai Nuraina Humaira Rosli yang telah dibunuh berkata dia masih terkejut, trauma dan bersedih menerima khabar berita pemergian anaknya.
Menurut Rosli Mahadi, 48, dia dan isterinya, Khatijah Angah, 31, tidak menjangka kehilangan anak sulung berusia 10 tahun itu berakhir dengan penemuan mayatnya di kawasan berpaya sekitar perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput Perak.
“Saya diberitahu ada suspek ditangkap, eloklah. Tapi saya tak mahu tahu dan tak mahu tengok muka dia.
“Isteri saya sedaya upaya kawal perasaannya, anak bongsu pula tidak menangis, cuma dia sedar kakaknya tiada di rumah dan mencari-cari,” jelasnya.
Bapa Enggan Ulas Lanjut Mengenai Kejadian
Tambah si bapa, proses mandi, kafan dan solat jenazah selesai dilakukan di Unit Forensik Hospital Sungai Siput sebelum jenazah anak puterinya dibawa ke Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Bersah dengan menaiki van.
“Perjalanan untuk sampai ke kampung mengambil masa hampir dua jam, alhamdulillah anak saya selamat dikebumikan 3 pagi tadi (19 Ogos) dengan bantuan penduduk kampung dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),” katanya.
Sementara itu, Rosli dikatakan enggan mengulas lanjut mengenai insiden menyayat hati yang menimpa anaknya selain menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.
Kes Jenayah Berat Tak Pernah Berlaku – Tok Batin
Berbicara tentang insiden, Tok Batin dikenali sebagai Hadu Long berkata kes-kes jenayah berat seperti pembunuhan tidak pernah berlaku sepanjang 19 tahun menjaga kebajikan penduduk di sana terutamanya melibatkan anak kecil sebagai mangsa.
“Saya jadi Tok Batin dari tahun 2005 hingga sekarang. Tak pernah lagi berlaku kes melibatkan rogol dan bunuh.
“Selama ini kami hidup dalam keadaan aman, jadi bila berlaku kes seperti ini, ia sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Sebagai ketua yang bertanggungjawab menjaga kampung ini, saya berasa terkilan dan sedih,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Nuraina Humaira Dijumpai Tidak Sedarkan Diri Di Kawasan Paya
Terdahulu, Nuraina Humaira dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu (16 Ogos) selepas dipercayai bermain di kawasan sekitar perkampungan itu.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejak pagi Sabtu dengan bantuan anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi dan penduduk tempatan sejurus laporan diterima.
Mayat mangsa ditemui keesokan harinya (17 Ogos) dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat tekanan di bahagian leher selain koyakan di bahagian kemaluan. Pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa turut menjadi mangsa rogol.
Dalam pada itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah direman selama satu minggu bermula semalam (19 Ogos) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pembunuhan Nuraina Humaira: Remaja 17 Tahun Direman Seminggu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram