Now Reading
Kes Pembunuhan Nuraina Humaira: Remaja 17 Tahun Direman Seminggu

Kes Pembunuhan Nuraina Humaira: Remaja 17 Tahun Direman Seminggu

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang direman itu juga merupakan saudara terdekat kepada mangsa Nuraina Humaira.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah direman selama satu minggu bermula hari ini (19 Ogos) bagi membantu siasatan bagi kes kematian kanak-kanak perempuan Orang Asli, Nuraina Humaira yang berusia 10 tahun.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan telah mengeluarkan perintah reman terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang dilihat memakai baju berwarna biru gelap dan berseluar hitam tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak pada jam 8:30 pagi tadi dengan diiringi beberapa anggota polis.


Suspek Adalah Saudara Terdekat Mangsa

Memetik laporan Astro Awani, suspek yang juga merupakan saudara terdekat mangsa telah ditahan semalam (18 Ogos) di rumahnya di Kuala Mu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin mendedahkan hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat tekanan di bahagian leher selain koyakan di bahagian kemaluan.

Sumber: Astro Awani

Susulan laporan bedah siasat itu, pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa turut menjadi mangsa rogol.

Pihak polis turut memberitahu bahawa Nuraina Humaira mempunyai masalah pendengaran dan lembam.


Kronologi Kes Nuraina Humaira

Nuraina Humaira dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu (16 Ogos) selepas dipercayai bermain di kawasan sekitar perkampungan itu.

Memetik laporan Berita Harian, pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kira-kira jam 1.20 pagi pada Sabtu (17 Ogos).

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejak pagi Sabtu dengan bantuan anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi dan penduduk tempatan.

Sumber: Facebook

Mayat mangsa ditemui keesokan harinya (17 Ogos) sekitar jam 4:20 petang dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

“Mangsa dijumpai terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit,” kata Mohd Khaizam.

Mayat kanak-kanak tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Siput bagi menjalani proses bedah siasat.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd