WHO Isytihar Cacar Monyet Darurat Kesihatan Awam, KKM Umum Tiada Kes Baru Di Malaysia
Pengisytiharan darurat kecemasan kesihatan global ini adalah susulan peningkatan kes mpox di Afrika dan negara berdekatan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Rabu lalu (14 Ogos), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi peningkatan jangkitan virus Monkey Pox (mpox) atau nama lainnya Cacar monyet di Afrika sebagai darurat kesihatan awam global.
Amaran tahap tinggi ini adalah susulan peningkatan kes di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dan penularan ke negara berdekatan.
Laporan dikeluarkan oleh WHO mendedahkan sebanyak 99,176 kes mpox di seluruh dunia melibatkan 116 negara dengan 208 (0.21%) kematian dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2024.
Tiada Kes Cacar Monyet Baru Di Malaysia
Susulan pengumuman dari WHO, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan semalam (15 Ogos) mengesahkan tiada kes baru membabitkan Cacar Monyet dalam negara setakat ini.
Menurut KKM, jumlah keseluruhan mpox yang disahkan di Malaysia kekal pada sembilan kes sahaja yang mana kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama.
“Di Malaysia, jumlah keseluruhan mpox yang disahkan setakat ini ialah sembilan kes dan semua kes mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko dan kini sudah pun sembuh serta tiada kematian dilaporkan,” tambah kementerian itu.
Macam Mana Mpox Boleh Berjangkit?
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesies di bawah genus Orthopoxvirus.
Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan.
Bukan itu sahaja, jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
Gejala penyakit ini adalah demam berserta ruam ‘maculopapular rash’ atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.
“Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah 5-21 hari.
“Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya,” ujar KKM.
Pengamal Perubatan Perlu Lapor Pada KKM Jika Ada Rawat Kes Mpox
KKM juga menegaskan agar mana-mana pengamal perubatan yang merawat kes disyaki atau sudah disahkan mpox untuk melaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
Hal ini bagi memastikan siasatan boleh dilakukan selain dapat mencegah dan mengawal penularan daripada berlaku.
“Bagi pengurusan kes mpox, pengamal perubatan boleh merujuk kepada garis panduan ‘Guidelines on mpox management in Malaysia’ di laman sesawang portal rasmi KKM https://www.moh.gov.my,” kata kementerian berkenaan.
Hati-hati Jika Ingin Lawat Negara Ada Kes Mpox – KKM
Dalam pada itu, KKM menasihatkan individu yang ingin melawat ke negara yang dilaporkan ada kes mpox untuk berhati-hati iaitu dengan mengamalkan cara hidup sihat dan mengelakkan aktiviti berisiko.
“Semua pengembara yang tiba dari negara berkaitan dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia,” tambahnya lagi.
Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia
— KKMalaysia🇲🇾🩺❤️ (@KKMPutrajaya) August 15, 2024
Situasi Semasa Kes Monkey Pox (MPOX) pic.twitter.com/x2fNJMCn3n
Untuk pengetahuan semua, penyakit ini kali pertama dikenal pasti pada tahun 1970 di Congo, Afrika. Pada tahun 2022, WHO melaporkan lebih daripada 3,400 kes Cacar Monyet dari lebih 50 buah negara dengan satu (1) kematian.
Daripada pemerhatian WHO, pihak mereka mendapati sebilangan besar kes Cacar Monyet berlaku di kalangan golongan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jantina.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Catat 2 Kes Pertama Positif Cacar Monyet – KKM
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Cacar Monyet (Monkeypox) Pertama Di Thailand Direkodkan
Baca Artikel Berkaitan: Singapura Sahkan Kes Import Pertama Cacar Monyet Dari Pramugara Warga Britain
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram