Amalan ‘Mandi Safar’ Untuk Tolak Bala Adalah Bidaah & Khurafat Bagi Umat Islam
Amalan ‘Mandi Safar’ yang diamalkan masyarakat Melayu dari zaman dahulu mula dilakukan selepas wujud segelintir pihak yang mempercayai kononnya bulan Safar adalah bulan yang membawa nasib kurang baik buat mereka.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kalau anda perasan, banyak adat dan tradisi oleh masyarakat pada masa kini yang sebenarnya sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang kita lagi.
Bila bercakap bab amalan dan larangan zaman dahulu, memang tidak terkira banyaknya. Antaranya anak dara tidak boleh menyanyi ketika memasak di dapur, perbanyakkan makan ulam untuk kekal awet muda, memakai bengkung selepas bersalin, tidak boleh berpindah tempat duduk ketika sedang maka dan banyak lagi.
Tetapi di sebalik amalan tersebut, kita juga perlu berhati-hati sekiranya wujud perbuatan yang dikhuatiri boleh menggugat keimanan dalam diri.
Amalan Mandi Safar Oleh Umat Melayu-Islam Pada Zaman Dahulu
Menerusi bebenang dimuat naik oleh Timbalan Menteri Agama YB Senator Dr Zulkifli Hasan di laman X miliknya (@DrZulkifliHasan), beliau mendedahkan tentang satu amalan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu beragama Islam pada zaman dahulu iaitu Mandi Safar.
Difahamkan, amalan itu dilakukan pada setiap Rabu terakhir pada bulan kedua dalam kalendar Islam iaitu Safar.
Perbuatan itu dilakukan selepas wujud segelintir pihak yang mempercayai kononnya bulan Safar adalah bulan yang membawa nasib kurang baik buat mereka.
Oleh itu, mereka akan berkunjung ke pantai dengan harapan mahu menolak bala.
Dalam hantaran itu, beliau telah memuat naik satu keratan artikel dari akhbar Berita Harian bertarikh 9 Julai 1963.
Laporan itu menyebut Timbalan Mufti Johor pada ketika itu Datuk Dr Abdul Jalil Hassan menyatakan bahawa upacara Mandi Safar adalah satu bidaah dan tidak masuk akal.
Pada masa yang sama, Mufti Singapura juga mengeluarkan fatwa berhubung amalan ini dan memutuskan hukumnya adalah haram kerana melibatkan unsur syirik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim Juga Terlibat Dalam Usaha Menyelamatkan Akidah Umat Islam
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada waktu itu merupakan Menteri Pendidikan juga telah berusaha untuk menyelamatkan akidah umat Islam dengan menghapuskan topik ‘Mandi Safar’ dalam buku teks Tatarakyat di peringkat sekolah rendah.
Anwar telah menulis surat pekeliling agar tajuk tersebut tidak lagi diajar kepada murid-murid di sekolah.
Sementara itu, beliau juga menggiatkan usaha dalam memperkasakan sistem perbankan Islam serta penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bukan itu sahaja, Anwar turut terlibat secara langsung dalam mengubah pemakaian yang lebih menutup aurat di sekolah arus perdana ketika tahun 90an.
Amalan Mandi Safar Pernah Tular Semula Pada Tahun 2021
Memetik laporan Berita Harian bertarikh 27 November 2021, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bercadang untuk memanggil seorang ustaz berhubung tular kuliah agamanya yang didakwa mengajak orang ramai untuk menolak bala melalui Mandi Safar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary pada ketika itu juga menyifatkan amalan Mandi Safar adalah khurafat.
Beliau turut memetik hadis Bukhari dan Muslim bahawa tidak wujudnya nasib kurang baik pada bulan Safar seperti yang didakwa.
“Ini antara amalan jahiliah yang kita kena buang serta ubah masyarakat kita supaya tidak menganggap Safar sebagai bulan sial.
“Nabi menegur kerana perkara ini berlaku sejak jahiliah dan pada zaman Nabi pun, sudah ada sehingga Nabi sebut dalam hadis bahawa tidak ada kesialan dalam bulan Safar.
“Jika masyarakat kita cuba hidupkan kembali amalan mandi Safar ini, seolah-olah ia kembalikan kepada zaman jahiliah,” katanya.
Tiada Amalan Mandi Safar
Di akhir perkongsian di laman X itu, Timbalan Menteri Agama itu mengingatkan umat Islam bahawa tiada amalan Mandi Safar dalam bulan kedua mengikut kalendar Hijrah.
Beliau menasihati masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan melakukan perkara yang boleh merosakkan serta membatalkan akidah seseorang.
“Khurat tetap khurafat, meski disulami ayat suci,” kata Dr Zulkifli Hasan.
Dr Zulkifli juga berusaha untuk membentuk cara pemikiran masyarakat dengan aturan al-Quran yang sebenar.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Sup Bunjut’ Antara Amalan Khurafat Yang Masih Diamalkan Pesakit di Hospital
Baca Artikel Berkaitan: Buhul Sihir: “Tak Salah Upah Orang Untuk Jaga Atau Tunggu Di Pusara Atas Tujuan Keselamatan” – Ahli Agama
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.