Now Reading
Barangan Aksesori Wanita Dari Aplikasi Online Ditemui Ada Bahan Toksin – Pihak Berkuasa Seoul

Barangan Aksesori Wanita Dari Aplikasi Online Ditemui Ada Bahan Toksin – Pihak Berkuasa Seoul

Kerajaan bandar Seoul di Korea Selatan mendapati 11 produk yang dijual di Shein, AliExpress dan Temu dipercayai mengandungi bahan toksik melebihi had dibenarkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Zaman sekarang ini, boleh dikatakan hampir kesemua jenis barangan sudah ada dijual secara atas talian.

Masyarakat juga dikatakan lebih gemar membeli barang atas talian kerana mempunyai pelbagai diskaun menarik serta harganya yang dikatakan lebih murah meskipun perlu menunggu beberapa hari untuk tiba di rumah.

Walau bagaimanapun, penggunaan bahan bagi penghasilan produk diragui sesetengah pihak kerana dibimbangi mengandungi bahan tidak sepatutnya seperti mana yang ditemui oleh kerajaan bandar Seoul baru-baru ini.


Aksesori Wanita Dijual Online Didakwa Mengandungi Bahan Toksik

Menurut laporan Berita Harian yang memetik agensi media Yonhap, beberapa barangan aksesori wanita seperti topi serta sandal yang dijual di platform membeli-belah Shein, AliExpress dan Temu dipercayai didapati mengandungi bahan toksik.

Hasil pemeriksaan keselamatan yang dilakukan oleh kerajaan bandar Seoul ke atas 144 barangan pada 12 Julai hingga 9 Ogos lalu, sebanyak 11 produk ditemui mempunyai isu keselamatan.

Pemeriksaan tersebut termasuklah 94 bekas makanan, 13 produk solek, 28 sandal dan topi dan sembilan produk kebersihan.

Daripada 28 sandal yang diperiksa, dua daripadanya mempunyai pemplastik berasaskan phthalate dengan jumlah yang melebihi paras dibenarkan iaitu sebanyak 167.5 kali dan 229.2 kali.

Sumber: SHEIN

Sebagai info, phthalates adalah sebatian kimia yang digunakan untuk menjadikan plastik lebih tahan lama dan fleksibel.

Bukan itu sahaja, phthalates berisiko menyebabkan gangguan hormon dan boleh dikaitkan dengan masalah obesiti, penyakit jantung, kanser dan masalah kesuburan.

Dua sandal berlainan pula mempunyai nikel sebanyak dua hingga sembilan kali lebih tinggi dari paras dibenarkan dan ia boleh mengakibatkan seseorang mengalami dermatitis kontak.

Pada masa yang sama, tiga buah topi mencatatkan paras formaldehid dengan dua kali ganda lebih tinggi berbanding yang dibenarkan dengan skala pH 9.3 juga melebihi nilai pH standard antara 4 dan 9.

Sumber: Pexels

Selain itu, dua buah botol pengilat kuku direkodkan mempunyai jumlah dioksana dengan 3.6 kali ganda melebihi had dibenarkan manakala dua periuk aluminium pula mengandungi dua kali ganda paras nikel yang dibenarkan.

Susulan itu, kerajaan Seoul membuat perancangan untuk meminta platform berkenaan menghentikan penjualan 11 produk yang didapati mempunyai isu keselamatan.


Kes Hampir Sama Pernah Berlaku

Pada Mei lalu, pihak berkuasa Seoul menjalankan pemeriksaan mingguan bagi barangan yang dijual di platform e-dagang dari China iaitu Shein dan menyaksikan keputusan yang agak membimbangkan.

Pihak berkuasa Seoul dilaporkan telah mengesan bahan kimia toksik tahap tinggi dalam beberapa kasut dan aksesori kanak-kanak yang dijual oleh platform terbabit.

Sumber: Fashion United

Hasil pemeriksaan mendedahkan kasut kanak-kanak, beg kulit dan tali pinggang didapati mengandungi jumlah phthalates yang tinggi.

Dalam ujian yang dijalankan oleh pihak berkuasa, sepasang kasut kanak-kanak mengandungi 428 kali ganda paras phthalates daripada jumlah yang dibenarkan.


Kesan Phthalates Terhadap Tubuh Badan Kita

Sebagai info, phthalates terkandung dalam produk plastik dan boleh memasuki tubuh badan dalam bentuk mikroplastik melalui makanan dan udara.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, macam mana ia boleh berlaku?

Mikroplastik pada asasnya adalah produk plastik bersaiz besar yang dipecahkan menjadi bentuk lebih kecil. Oleh kerana plastik sukar untuk dikitar semula, maka mikroplastik akhirnya dibuang di lautan, udara dan tanah.

Menurut Open University, mikroplastik boleh masuk ke dalam tanah melalui pelbagai cara seperti pengairan menerusi air tercemar dan penguraian dalam pertanian.

Sumber: Natural Niche Perfume

Mikroplastik kemudiannya diserap oleh akar tumbuhan, organisma tanah, dan ekosistem yang lebih luas.

Ia juga bermakna makanan yang dimakan dalam kehidupan seharian seperti ayam, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran juga berkemungkinan tercemar dengan mikroplastik.

Lebih membahayakan lagi, saluran pernafasan kita turut terdedah dengan mikroplastik kerana adanya bahan plastik ini yang terapung di udara.

Baca Artikel Berkaitan: Produk Shein Dikesan Ada Bahan Toksik Tinggi, Apa Kesannya Pada Tubuh Badan?

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Dedah Pencemaran Plastik Boleh Jadi Penyebab Dapat Penyakit


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd