[Video] Treler Terbakar Berhampiran Tol Duta, Pemandu Cedera Di Kepala & Tangan
Hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku berhampiran Plaza Tol Jalan Duta itu berlaku selepas pemandu dikatakan hilang kawalan sebelum treler yang dipandunya terbalik di jalan raya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap hari, pasti kita akan mendengar berita mengenai kemalangan jalan raya yang dilaporkan di dalam negara.
Lebih membimbangkan lagi apabila insiden itu mengakibatkan mangsa terlibat meninggal dunia dan mengalami kecederaan.
Jika dilihat semula, kemalangan ini boleh berlaku disebabkan beberapa punca seperti sikap cuai, kualiti jalan raya, keadaan sesebuah kenderaan dan sebagainya.
Treler Terbabas Sebelum Terbakar Berhampiran Plaza Tol Duta
Menerusi video dimuat naik semula di laman X (@beritaalhijrah), kelihatan sebuah treler telah terbabas sebelum berlakunya tumpahan minyak di atas jalan raya berhampiran Plaza Tol Duta.
Dalam video berkenaan, sebuah kereta dan juga treler lain telah melalui jalan berminyak itu sebelum kenderaan mereka juga mengalami sedikit kebakaran dalam tempoh beberapa saat sebelum api kemudiannya kembali reda.
Memetik laporan Berita Harian, kemalangan yang berlaku semalam (13 Ogos) sekitar 12:03 tengah hari itu mengakibatkan pemandu treler terlibat mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangannya.
Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 30an kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberitahu bahawa kebakaran berjaya dipadamkan dengan bantuan sembilan orang anggota serta dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas.
Kemusnahan kebakaran dianggarkan 50% sebelum berjaya dipadamkan. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pada pukul 1.48 tengah hari. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur.
Pemandu Hilang Kawalan
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa pula berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku selepas pemandu dikatakan hilang kawalan sebelum terbalik.
Mohd Zamzuri memaklumkan kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Seorang lelaki cedera di bahagian tangan dan kepala selepas terlibat dalam kemalangan treler terbalik sebelum terbakar, di jalan berhampiran Tol Duta menghala utara, di sini tengah hari tadi.
— Berita AlHijrah (@beritaalhijrah) August 13, 2024
Ikuti Berita AlHijrah di pelbagai platform media sosial https://t.co/fj4muJoybH dan… pic.twitter.com/CyWcrTgDbc
PDRM Keluarkan Statistik Kemalangan Harian
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan Malaysia mencatatkan purata 18 kematian sehari disebabkan kemalangan pada tahun lalu iaitu 12 daripadanya melibatkan motosikal.
Berdasarkan statistik terkini tentang kemalangan membabitkan kematian, beliau mendedahkan jumlah individu maut dicatatkan pada tahun 2023 adalah 6,443, sekali gus merekodkan angka tertinggi dalam tempoh masa lima tahun.
Daripada jumlah berkenaan, hampir dua pertiga adalah kemalangan membabitkan motosikal sebanyak 4,480 kematian dan ia bersamaan dengan purata 18 kematian setiap hari iaitu seorang bagi setiap 80 minit.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di laman Facebook telah merealisasikan arahan kementerian untuk memuat naik statistik kes kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ pada setiap hari.Â
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Catat Purata 18 Kematian Sehari Akibat Kemalangan Jalan Raya – Anthony Loke
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.