Now Reading
Kes Budak 12 Tahun Pandu Kereta, Bapa Didakwa Cuai Kerana Dedahkan Anak Kepada Kecederaan

Kes Budak 12 Tahun Pandu Kereta, Bapa Didakwa Cuai Kerana Dedahkan Anak Kepada Kecederaan

Penjual karpet berusia 53 tahun itu dituduh melakukan kecuaian hingga berkemungkinan boleh mendatangkan kecederaan fizikal selepas dipercayai gagal mengawasi kanak-kanak tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang pemastautin warga Pakistan yang merupakan bapa kepada kanak-kanak 12 tahun yang memandu kereta bersama dua orang adiknya telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada hari ini (7 Ogos).

Penjual karpet berusia 53 tahun itu dituduh melakukan kecuaian hingga berkemungkinan boleh mendatangkan kecederaan fizikal selepas dipercayai gagal mengawasi kanak-kanak tersebut yang memandu kereta di Jalan Impiana 10, Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor pada 28 Julai lalu.


Si Bapa Mengaku Tidak Bersalah

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dengan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin ketika prosiding turut memberi cadangan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 oleh seorang penjamin serta perlu mengikuti syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebanyak satu kali sebulan.


Peguam Minta Kurangkan Jumlah Wang Jaminan

Memetik laporan Berita Harian, peguam yang mewakili tertuduh iaitu Nabilla Rosli tidak bersetuju dan membantah wang jaminan yang tinggi dikenakan kepada anak guamnya.

Ia berikutan situasi tertuduh yang merupakan penanggung tunggal (sole bread-winner) menyara keluarga dengan pendapatan tidak menentu.

Anak guam adalah warga Pakistan yang berstatus PR (pemastautin tetap) Malaysia mempunyai lima anak berusia enam hingga 19 tahun yang semuanya masih sekolah. Isteri yang juga warga Malaysia adalah suri rumah dan anak guam peniaga karpet kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM3,000.

Peguam Nabilla Rosli.

Hakim kemudiannya mengurangkan jaminan dari RM15,000 kepada RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.

Sebutan semula kes adalah pada 4 September depan.


Kanak-kanak 12 Tahun Tular Pandu Kereta Di Kawasan Perumahan

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan tertuduh sudah hadir memberi keterangan sekitar jam 11:30 malam pada 29 Julai lalu.

Sumber: X @update1111

Siasatan awal mendapati bahawa kanak-kanak itu mahu membawa dua orang adiknya berusia empat dan enam tahun bersiar-siar di kawasan perumahan mereka.

Kes ini mula tular selepas seorang wanita yang merupakan penduduk kawasan perumahan tersebut memuat naik video ketika dia menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih yang dipandu dalam keadaan laju ketika melalui bonggol di hadapan sebuah rumah.

Menurut wanita berkenaan, remaja tersebut didakwa sudah beberapa kali dilihat memandu kereta di kawasan terbabit dan mahu membuat laporan polis berhubung kes itu.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Pandu Kereta Sambil Bawa Adik, Bapa Kanak-kanak 12 Tahun Sudah Beri Keterangan Kepada Polis


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd