Lelaki Tolak Isteri Dalam Gaung Di Gerik Kini Direman Selama Seminggu
Suspek yang didakwa menolak isterinya ke dalam gaung telah direman mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Seorang lelaki yang dipercayai telah menolak isterinya ke dalam sebuah gaung di KM 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 27 Julai lalu kini telah ditahan reman oleh pihak polis selama seminggu.
Memetik laporan Buletin TV3, Majistret Savinder Singh Jugindar Singh membenarkan perintah reman itu dikeluarkan ke atas suspek bermula hari ini (6 Ogos) sehingga Isnin depan (12 Ogos).
Suspek berusia 39 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik pada 8:50 pagi tadi sebelum reman selama tujuh hari itu dibenarkan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh.
Mangsa Juga Ditahan Di Kedah Atas Tuduhan Lain
Sebelum ditahan reman, suspek yang merupakan seorang peniaga ditangkap pada 31 Julai lalu dan direman selama enam hari oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di Kedah selepas terbabit dalam kes di kawasan berkenaan.
Difahamkan, suspek tersebut telah mencederakan seorang individu yang dipercayai merupakan abang kandungnya.
Sejurus selesai tempoh reman di Kedah, tertuduh kemudiannya ditangkap semula oleh IPD Gerik semalam (5 Ogos) bagi membantu siasatan bagi kes melibatkan isterinya.
Suami Cekik Dan Pukul Isteri Sebelum Tolak Masuk Gaung
Terdahulu, seorang wanita berusia 32 tahun berdepan detik cemas apabila hampir dibunuh oleh suaminya selain dicekik dan dipukul sebelum ditolak ke dalam sebuah gaung.
Difahamkan berlaku pertengkaran semasa mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung sehingga menyebabkan suspek memberhentikan kereta dan mengugut untuk membunuh mangsa dengan sebilah pisau.
Pergaduhan dan pergelutan yang terjadi di bahu jalan itu mengakibatkan suspek bertindak tanpa kawalan sehingga menolak isterinya jatuh ke dalam gaung.
Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa telah merangkak naik sendiri dari gaung ke bahu jalan untuk menyelamatkan dirinya sebelum dijumpai oleh orang awam pada jam 2:00 petang hari berikutnya (27 Julai).
Individu yang menjumpai mangsa telah melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis sebelum mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk menerima rawatan.
Baca Artikel Berkaitan: Isteri Merangkak Selamatkan Diri Selepas Ditolak Suami Dalam Gaung
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.