Now Reading
Kerajaan Ada Potensi Sediakan Aplikasi Media Sosial Sendiri Untuk Rakyat Malaysia – Pakar

Kerajaan Ada Potensi Sediakan Aplikasi Media Sosial Sendiri Untuk Rakyat Malaysia – Pakar

Menurut pakar teknologi dikenali sebagai Dr Muhidin Ariffin, platform media sosial khusus untuk Malaysia memerlukan perancangan dan penambahbaikan secara berterusan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Ahad lalu (4 Ogos), Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa kerajaan akan meneliti cadangan membina aplikasi media sosial sendiri buat rakyat Malaysia.

Hal ini kerana, penyedia aplikasi media sosial tersedia dikatakan mengaut keuntungan daripada rakyat, namun dalam masa yang sama gagal menjamin aspek keselamatan penggunanya.

Tambah Fahmi, beliau juga telah bertemu dengan pengacara tanah air terkenal Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Nil yang mengemukakan cadangan itu sebelum ini.


Malaysia Mampu Wujudkan Media Sosial Sendiri

Susulan itu, pakar teknologi Dr Muhidin Ariffin memberikan pandangannya tentang cadangan yang dikemukakan.

Menurutnya, kerajaan mampu mewujudkan media sosial khusus untuk warga Malaysia sekiranya mempunyai perancangan, pelaksanaan serta penambahbaikan secara berterusan.

Sekiranya pihak berkuasa memberikan sokongan serta tumpuan terhadap pembangunan media sosial tersebut, maka ia mampu meningkatkan peluang untuk menarik serta mengekalkan pengguna.

“Sokongan padu daripada kerajaan pasti membantu dari segi promosi, insentif pengguna serta infrastruktur.

“Platform tersebut mesti menawarkan ciri dan kandungan yang membezakannya daripada media sosial sedia ada serta mempunyai privasi bagi memastikan keselamatan platform pengguna terjamin,” kata Dr Muhidin, lapor Sinar Harian.


Isu Sekatan Kebebasan Bersuara Oleh Kerajaan Mungkin Timbul

Walau bagaimanapun, Dr Muhidin yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) menekankan bahawa terdapat beberapa cabaran yang perlu dipertimbangkan dalam proses menyediakan platform media sosial itu.

“Platform tersebut akan bersaing dengan aplikasi global yang mantap atau mungkin mempunyai kelebihan ketara dari segi pangkalan pengguna, ciri serta sumber. Penglibatan kerajaan juga mungkin boleh menimbulkan kebimbangan mengenai penapisan dan kebebasan bersuara.

“Pertimbangkan dengan teliti isu dan laksanakan strategi dengan baik, pastinya Malaysia boleh meningkatkan peluang untuk melancarkan serta mengembangkan platform khusus ini,” tambahnya.

Media sosial. Sumber: Pexels

Syed Saddiq Bantah Cadangan Malaysia Wujudkan Media Sosial Sendiri

Meskipun cadangan menyediakan media sosial sendiri ini mendapat maklum balas yang baik dari sesetengah pihak, namun ada juga yang tidak bersetuju.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membantah perkara tersebut selain mendakwa duit pembayar cukai bakal ‘hangus’ lagi.

“Malaysia ada ratusan aplikasi kementerian atau agensi yang bertindih dan kini tak berfungsi. Guna duit siapa? Ratusan juta duit pembayar cukai. Kini kerajaan nak bina aplikasi media sosial pula.

“Duit pembayar cukai bakal hangus lagi. Duit anda akan menyumbang kepada ketidakcerdikan mereka,” ujar Syed Saddiq menerusi ciapan di laman X (Twitter).

Baca Artikel Berkaitan: “Yang Berkuasa Kekal Berkuasa” – Isu Malaysia Wajibkan Platform Media Sosial Mohon Lesen Raih Perhatian Ramai


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd