[Video] Tersasul Laung ‘Hidup Israel’, Zahid Hamidi Mohon Maaf & Akui Terkhilaf
Jelas Zahid Hamidi hati yang tulus ikhlas tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! serta mahukan kemerdekaan buat negara tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak 7 Oktober tahun lalu, konflik yang melanda Palestin dan Israel masih lagi belum reda. Malah ekoran daripada konflik tersebut ribuan nyawa telah terkorban termasuklah pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang dipercayai telah terbunuh di Iran.
Oleh itu, ramai yang menunjukkan solidariti mereka dengan melakukan boikot terhadap jenama serta produk dan juga perhimpunan beramai-ramai.
Ahmad Zahid tersilap laungkan ‘Hidup Israel’ ketika sedang berucap
Namun baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berucap sewaktu Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung pada malam tadi (4 Ogos).
Program di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain termasuklah orang ramai.
Walau bagaimanapun dalam video yang tular kedengaran Ahmad Zahid telah tersilap dalam mengeluarkan kata-kata ketika berucap.
“Insya-Allah rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum akan terus memberikan dokongan kepada perjuangan rakyat Israel,” ujarnya dalam video berkenaan.
Dalam satu lagi video, Ahmad Zahid juga tersasul apabila melaungkan ‘Hidup Israel’ sehingga perkara itu mendapat perhatian ramai.
Zahid Hamidi mohon maaf kerana kekhilafan ketika berbicara
Sedar mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudian tampil memohon maaf atas kekhilafannya ketika berbicara.
“Saya hadir bersama ribuan rakyat Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil bagi memberi dokongan dan tanda solidariti kita untuk pembebasan Palestin.
“Hadirnya kita sebagai rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi. Kami berkumpul bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh dengan kejam.
“Namun, walau seorang Ismail Haniyeh gugur ribuan mujahid lagi akan dilahirkan! Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.
“Namun hati yang tulus ikhas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin! Allahu Akbar,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.