Now Reading
Malaysia Sedia Bawa Rakyat Palestin Tercedera Ke Malaysia Untuk Dapatkan Rawatan – Anwar Ibrahim

Malaysia Sedia Bawa Rakyat Palestin Tercedera Ke Malaysia Untuk Dapatkan Rawatan – Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperuntukkan dana bagi merawat rakyat Palestin yang cedera terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (4 Ogos), ribuan orang ramai telah membanjiri Himpunan Pembebasan Palestin bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menunjukkan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin.

Acara tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menjelaskan bahawa Malaysia sedia membawa sebahagian rakyat Palestin terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak tercedera serta sakit untuk dirawat di negara ini.

Perkara itu juga telah dibincangkan bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bagi membantu permudahkan segala urusan berkaitan.

“Insya-Allah, kita akan lakukan sedaya upaya kita dan suarakan pandangan kita tidak kira depan sesiapa. Kita akan bantu yang sakit, sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari untuk diberikan rawatan. Kita akan teruskan tanpa tolak ansur.

“Kerajaan akan peruntukkan dana. Saya bincang dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour),” ujar Anwar.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

Tak Mahu Rakyat Palestin Jadi Hamba Abdi – PMX

Dalam masa sama, Anwar memaklumkan warga Palestin yang terkorban disebabkan kekejaman Zionis kini telah mencecah lebih 40,000 orang.

Pun begitu, Israel masih disanjung di negara Barat seperti baru-baru ini, Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu diberi peluang untuk bersuara di Kongres Amerika Syarikat (AS).

“Demikian kenyataan politik hari ini. Saya tidak mampu berbicara, hati saya juga luka. Pesan juga daripada sahabat saya, Ismail Haniyeh.

“Saya juga bingung, apa lagi yang mampu aku lakukan? Kita tidak ada pilihan. Siapa kata saya berani sangat? Tapi saya hanya mewakili saudara-saudara menjalankan tanggungjawab.

“Saya terfikir dan bimbangkan nasib rakyat dan negara. Saya mahu Malaysia ini gagah, ekonominya hebat dan politiknya stabil, rakyat bersatu-padu dan maju, tapi saya juga ada perikemanusiaan dan tidak mahu rakyat dizalimi dan orang Palestin dijadikan hamba abdi.

“Maka, saya bertanggungjawab bersama saudara-saudara, bangkit memperjuangkan rakyat Palestin,” tambah PMX.

Baca Artikel Berkaitan: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh Maut Dibunuh Di Iran


Anwar Gesa Orang Ramai Tak Henti Bersuara Tentang Palestin

Dalam pada itu, Anwar menggesa orang ramai untuk tidak berhenti menunjukkan solidariti dan bersuara tentang penindasan yang sedang berlaku terhadap saudara di Palestin.

“Jangan berhenti bicara setiap hari. Jangan berhenti bantu dan sedekah untuk meringankan beban dan rakan-rakan kita di Palestin.

“Saya mahu Malaysia terletak di peta sejarah antara negara yang lebih konsisten sungguh-sungguh perjuangkan nasib rakyat Palestin,” kata Anwar.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

Menerusi himpunan itu, pengunjung telah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah sebelum majlis bermula 2 jam kemudian.

Mereka juga telah memakai selempang, membawa sepanduk serta kain rentang sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin yang ditindas.

Untuk info, Pidato Solidariti Palestin, bacaan puisi dan persembahan nyanyian, sesi tayangan video khas serta bacaan doa Qunut Nazilah adalah antara program yang dianjurkan semasa himpunan berkenaan berlangsung.


Tentera Israel Bom 2 Sekolah Di Gaza

Terdahulu, rejim Zionis telah mengebom dua sekolah di bandar Gaza sehingga meragut nyawa 30 orang warga Palestin.

Lapor Al-Jazeera, kira-kira 80% daripada mangsa yang berada di sekolah Hassan Salama dan Nassr adalah golongan kanak-kanak.

Pada Sabtu lalu, Pertahanan Awam Palestin di Gaza turut memaklumkan bahawa tentera Israel mengebom Kolej Universiti Sains Gunaan di kawasan kejiranan Tel al-Hawa, barat daya Bandaraya Gaza. Pencerobohan itu telah memusnahkan bangunan kampus sepenuhnya.

Saksi-saksi insiden berkata terdapat letupan besar di sekitar kawasan universiti dan asap tebal kelihatan naik dari kawasan tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: “Malaysia Sedia Jalin Kerjasama Dengan Indonesia Hantar Pasukan Pengaman Ke Palestin” – Anwar Ibrahim

Baca Artikel Berkaitan: 8 Warga Palestin Terkorban Di Lokasi Tempat Pengedaran Bantuan UNRWA, Mayat Dibalut Guna Selimut


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd