Akibat Hisap Vape ‘Magic Mushroom’ Berlebihan, Pelajar 16 Tahun Alami Sawan Kritikal
Pelajar lelaki itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke klinik kesihatan dan dirujuk ke unit kecemasan Hospital Kemaman.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui rokok dan juga rokok elektronik sememangnya memberi kemudaratan kepada tubuh badan manusia. Bagaimanapun, masih ramai di luar sana yang mengambil bahan berbahaya itu.
Bukan sahaja golongan dewasa, bahkan golongan muda juga tidak terlepas menghisap vape walaupun masih bersekolah.
Sebelum ini, laporan Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) mendedahkan 30% perokok elektronik di Malaysia terdiri daripada individu berumur 12 hingga 15 tahun.
Baca Artikel Berkaitan: 30% ‘Kaki’ Vape Di Malaysia Berumur 12 Hingga 15 Tahun
Pelajar Tingkatan 4 Tak Sedarkan Diri Lepas Hisap Vape ‘Magic Mushroom’
Pada Isnin lalu (22 Julai), seorang pelajar dari sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman, Terengganu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai selepas menghisap rokok elektronik atau vape jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.
Pelajar lelaki berusia 16 tahun tersebut kemudiannya mendapatkan rawatan perubatan akibat mengalami kesan yang agak serius dari pengambilan bahan bahaya terbabit.
Difahamkan saksi telah memaklumkan kepada guru mengenai kejadian yang berlaku jam 10.30 pagi itu. Mangsa kemudian dikejarkan ke klinik kesihatan terdekat oleh keluarganya.
Pelajar Lelaki Alami Sawan Kritikal
Sejurus itu, mangsa dirujuk ke unit kecemasan Hospital Kemaman. Hasil pemeriksaan mendapati pelajar lelaki tersebut mengalami sawan kritikal akibat pengambil bahan kimia yang berlebihan.
Buat masa ini, mangsa dilaporkan masih dirawat di hospital yang sama. Lapor sumber, aktiviti menghisap vape di kalangan murid dalam pekarangan sekolah terbabit sudahpun dikesan sejak tiga tahun lalu dan kini ia berada di tahap yang membimbangkan.
Mengulas lanjut, pihak keluarga mangsa telah membuat satu laporan polis pada Jumaat lalu (26 Julai).
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi Buletin TV3 turut mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Orang Ramai Bimbang Terhadap Penggunaan Vape Yang Semakin Berleluasa
Hebahan insiden ini telah mendapat perhatian pengguna media sosial. Ramai di kalangan pengguna X (Twitter) meluahkan kebimbangan mereka terhadap penggunaan vape yang semakin menjadi-jadi di kalangan pelajar sekolah.
Segelintir juga berpendapat bahawa bahan bahaya ini perlu diharamkan dalam negara.
“Dah banyak kali cakap haramkan saja vape di negara ini. Itu belum yang masuk hospital sebab paru-paru hancur. Benda yang mendatangkan mudarat ni lebih baik dihapuskan,” kata seorang lelaki.





Bahaya Vape Magic Mushroom
Ketagihan terhadap vape jenis magic mushroom ini boleh dilihat melalui perubahan tingkah laku yang ketara.
Terdahulu, seorang kakitangan hospital menjelaskan bahawa individu yang mengambil bahan bahaya tersebut secara berlebihan akan menyebabkan mereka tidak sedarkan diri atau separa sedar. Ada juga yang tidak memberi respon apabila dipanggil.
Dalam satu kes sebelum ini, seorang pesakit dengan simptom yang agak ekstrem seperti meracau perlu diikat kaki dan tangannya bagi mengelakkan risiko jatuh atau melarikan diri dari wad.
Walaupun ketagihan terhadap vape ini mampu dibendung, tetapi kesan yang tinggal pada bahagian paru-paru pesakit akan berkekalan.

KKM Bakal Kuat Kuasa Akta 852 Bagi Tangani Penggunaan Vape
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil maklum tentang peningkatan penggunaan vape di kalangan masyarakat Malaysia.
Susulan itu, KKM akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebagai satu inisiatif menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik melibatkan generasi muda.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peraturan yang bakal dikuatkuasa pada Ogos ini akan membabitkan pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.
Baca Artikel Berkaitan: Hisap Vape Dalam Wayang Punca Loceng Penggera Berbunyi & Penonton Diarah Keluar
Baca Artikel Berkaitan: Rokok Elektronik Atau Vape Haram Buat Umat Islam – Menteri Agama
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram