Bayi 2 Bulan Didera Hingga Patah Kaki, Pengasuh Di Johor Bahru Ditahan Polis
Pengasuh wanita di JB itu pada mulanya tidak memaklumkan sebarang perkara yang berlaku ketika ditanya oleh ibu bapa bayi berkenaan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes penderaan yang berleluasa di Malaysia membuatkan sesetengah ibu bapa semakin gusar untuk menghantar anak-anak kecil mereka ke pusat asuhan.
Antara kes yang pernah menjadi bualan ramai adalah tentang seorang pengasuh wanita yang mendera bayi jagaannya dengan menepuk kepala serta menekap muka menggunakan bantal sebelum menghempasnya ke atas tilam.
Dalam kes berlainan, seorang bayi berusia empat bulan pula dilaporkan meninggal dunia selepas wajahnya tiba-tiba bertukar biru dan tidak memberi sebarang tindak balas ketika cuba dikejutkan selepas didakwa didera oleh pengasuh di Terengganu.
Baca Artikel Berkaitan: Pengasuh Taska Didakwa Dera Bayi Di Skudai, Johor Mengaku Salah
Baca Artikel Berkaitan: Dera Bayi 4 Bulan Hingga Koma, 3 Pengasuh Ditahan Di Terengganu
Pengasuh Ditahan Polis Selepas Disyaki Mendera Bayi 2 Bulan
Menerusi laporan Sinar Harian, seorang pengasuh telah ditahan reman oleh pihak polis selepas dipercayai telah mendera bayi berusia dua bulan sehingga patah kaki kiri di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, Johor.
Pengasuh wanita berusia 36 tahun itu direman selama enam hari bermula Selasa lalu (23 Julai) sehingga Ahad ini (28 Julai) bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata tindakan itu dilakukan selepas ibu bapa kepada bayi tersebut membuat laporan polis pada Ahad lalu (23 Julai) di Balai Polis Dato Onn.
Semakan polis mendapati suspek tiada rekod lampau berkaitan jenayah serta saringan ujian air kencing didapati negatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 berikutan terdapat unsur-unsur pengabaian ke atas mangsa.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.
Bagaimana Insiden Disedari
Semuanya mula disedari selepas ibu bapa kanak-kanak terbabit menyedari sesuatu yang tidak kena dengan anaknya selepas diambil dari pusat asuhan pada Sabtu lalu (20 Julai).
Difahamkan, bapa kanak-kanak berkenaan terlihat kesan seperti bengkak pada paha kiri ketika menukar lampin.

Selain itu, bapanya turut mendakwa bahawa anaknya juga sudah tidak aktif seperti kebiasaannya seperti kurang minum susu.
Cemas melihat situasi tersebut, bayi terbabit telah dibawa ke sebuah klinik untuk melakukan pemeriksaan sebelum dirujuk ke hospital kerajaan.
Pada masa yang sama, ibu bapa bayi itu telah menghubungi pengasuh untuk mengetahui sebarang kajadian yang terjadi kepada anaknya.
Walau bagaimanapun, pengasuh wanita berkenaan memberitahu bahawa tiada apa-apa yang berlaku.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.