Now Reading
Dunia Alami Gangguan IT, Adakah Malaysia Terjejas?

Dunia Alami Gangguan IT, Adakah Malaysia Terjejas?

Gangguan IT secara global ini dipercayai melibatkan isu perisian keselamatan CrowdStrike yang berpotensi menjejaskan pengguna Windows Microsoft di seluruh dunia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (19 Julai) masalah melibatkan gangguan teknologi secara besar-besaran dilaporkan telah berlaku di seluruh dunia sehingga menjejaskan kebanyakan perkhidmatan perbankan, saluran media dan penerbangan.

Perkara itu juga telah mengakibatkan sesetengah penerbangan terpaksa dibatalkan manakala proses mendaftar masuk penumpang dilakukan secara manual.

Pada masa yang sama, platform Bursa Saham London (LSE) juga tidak beroperasi seperti biasa akibat gangguan yang berlaku.


Microsoft Sedang Lakukan Siasatan

Memetik laporan Kosmo, syarikat teknologi perisian Microsoft berkata pihak mereka sedang mengambil tindakan mitigasi berikutan ganguan ini.

“Pemadaman sistem itu bermula kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) semalam.

“Kami sedang menyiasat dengan perkhidmatan awan di Amerika Syarikat (AS) dan isu yang memberi kesan kepada beberapa aplikasi dan perkhidmatan,” kata Microsoft. 

Menurut laporan CNA, gangguan ini dipercayai melibatkan isu perisian keselamatan CrowdStrike yang berpotensi menjejaskan pengguna Windows Microsoft di seluruh dunia.

Sumber: AVG

CrowdStrike walau bagaimanapun dalam kenyataan mereka menjelaskan bahawa mereka sedang menyiasat perkara ini selepas menerima banyak laporan yang diterima melibatkan skrin yang bertukar biru akibat Blue Screen of Death (BSOD).

Sebagai info, CrowdStrike yang digunakan oleh industri seluruh dunia merupakan sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat berpangkalan di Austin, Texas.


Adakah Malaysia Terjejas Dengan Gangguan IT Ini?

Berdasarkan pemerhatian kami di media sosial, Malaysia dikatakan turut terjejas dengan gangguan IT yang berlaku ini selepas tular hantaran dan foto memperlihatkan barisan panjang yang berlaku di kaunter daftar masuk Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Antara syarikat penerbangan yang terjejas adalah AirAsia selepas mereka memuat naik satu hantaran di IG Story (@airasiamove) dengan memaklumkan bahawa segala tempahan pada platform mereka terjejas akibat isu gangguan IT.

AirAsia MOVE kini sedang terkesan dengan isu IT global dan ia juga mempengaruhi tempahan untuk AirAsia serta penerbangan lain pada platform kami. Kami menghargai segala kesabaran anda sementara kami sedang cuba untuk menyelesaikan isu ini.

AirAsia.

Memetik laporan Sinar Harian, tiada sebarang pembatalan penerbangan berlaku melibatkan syarikat penerbangan tambang murah ini meskipun ia mengalami gangguan sistem dalaman.

Sumber: MalayMail

Sementara itu, masalah teknologi ini tidak mengganggu operasi syarikat penerbangan Malaysia Airlines kerana tiada pembatalan dibuat setakat ini.

Walau bagaimanapun, penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan IT secara global ini boleh menjejaskan penerbangan melibatkan syarikat mereka.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd