UPSI Tawar Bantuan Buat Keluarga Nur Farah Kartini, Sedia Tanggung Kos Pengurusan Jenazah
Wakil pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menjelaskan keluarga mangsa belum membuat keputusan sama ada jenazah Nur Farah Kartini mahu dikebumikan di Semenanjung atau Miri, Sarawak.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada awal pagi hari ini (16 Julai), suspek lelaki warga tempatan berusia 26 tahun telah dibawa ke mahkamah selepas disyaki menjadi suspek dalam kes kematian wanita dikenali sebagai Nur Farah Kartini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Polis Selangor, mayat itu ditemui semalam (15 Julai) sekitar jam 6 petang di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Kosmo melaporkan bahawa jasad bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Miri, Sarawak itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan disyaki dibunuh sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Baca Artikel Berkaitan: Nur Farah Kartini Dipercayai Mati Dibunuh, Penjawat Awam Usia 26 Tahun Dibawa Ke Mahkamah Untuk Reman
UPSI Sedia Tanggung Kos Pengurusan Jenazah Mangsa
Memetik laporan Berita Harian, UPSI telah menyatakan hasrat untuk menanggung kos melibatkan proses pengebumian bagi jenazah Nur Farah Kartini.
Pegawai yang mewakili pihak pengurusan UPSI itu memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga mangsa pada jam 12:20 tengah hari tadi (16 Julai) ketika hadir ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB).
Wakil dari pihak UPSI itu turut berkata beliau enggan mengulas lanjut tentang bantuan berkenaan sebagai tanda menghormati keluarga mangsa.
Tambahnya lagi, mayat juga masih belum dipastikan oleh ahli keluarga sama ada mahu dikebumikan di Semenanjung atau di Miri, Sarawak.
Pihak universiti akan membantu keluarga Nur Farah Kartini bagi memudahkan pengurusan jenazah. Bagaimanapun kita masih menunggu keputusan daripada pihak keluarga Allahyarham sama ada jenazah akan dikebumi di Semenanjung atau Miri, Sarawak.
Wakil daripada pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook, pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut mengucapkan salam takziah kepada keluarga Nur Farah Kartini atas kejadian yang berlaku.
Pihak UPSI juga mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Kronologi Kes Yang Berlaku Sebelum Mayat Ditemui Pihak Polis
Terdahulu, Nur Farah Kartini yang berusia 25 tahun dilaporkan hilang pada Rabu lalu (11 Julai) selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti.
Kehilangan mangsa juga dimuat naik oleh abangnya, Mohd Farriza Azmi di laman Facebook dengan beberapa maklumat untuk memudahkan sekiranya mana-mana pihak menjumpainya.
Nur Farah Kartini yang berketinggian sekitar 165cm dan berat 60 kilogram itu dipercayai kali terakhir dijejaki di Jalan U 1/2, Taman Universiti, Tanjung Malim dengan berpakaian baju korporat berwarna biru serta memakai tudung hitam.
Suspek Adalah Anggota Polis Di Perak
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan bahawa suspek yang ditahan itu merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah berkhidmat selama lima tahun.
Beliau berkata anggota berusia 26 tahun itu bertugas di Balai Polis Slim River di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dengan memegang pangkat lans koperal.
Ketika siasatan dilakukan, suspek yang dipercayai kekasih kepada Nur Farah Kartini telah menunjukkan lokasi di mana berlakunya kejadian.
Tambah beliau lagi, mereka perlu menunggu siasatan penuh dari Polis Selangor kerana kejadian berlaku di Selangor.
“Subjek (suspek) telah pun ditangkap dan direman, tindakan selanjutnya perlu tunggu siasatan penuh dari Polis Selangor kerana perlakuan berlakunya kematian itu di Selangor, hanya kehilangan mangsa dilaporkan di Perak,” katanya.
Berita Harian pula yang memetik sumber mendedahkan bahawa punca kes ini adalah berkemungkinan kerana suspek berang selepas mangsa mahu melaporkan hubungan sulit kepada isteri suspek.
“Mangsa dipercayai mengugut suspek akan membocorkan hubungan antara mereka kepada isteri suspek.
“Suspek yang sudah berkahwin itu berang dengan ugutan berkenaan. Mangsa kemudian dicekik sebelum dilemaskan dalam parit berhampiran mayat ditemui,” lapor Berita Harian.
Walau bagaimanapun, beberapa individu mendakwa bahawa anggota polis berkenaan bukanlah pasangan kekasih kepada Nur Farah Kartini kerana situasi mereka lebih kepada cinta bertepuk sebelah tangan selepas mangsa menolak cintanya.
Baca Artikel Berkaitan: PDRM Sahkan Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini Anggota Polis Di Perak
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.