Now Reading
Nur Farah Kartini Dipercayai Mati Dibunuh, Penjawat Awam Usia 26 Tahun Dibawa Ke Mahkamah Untuk Reman

Nur Farah Kartini Dipercayai Mati Dibunuh, Penjawat Awam Usia 26 Tahun Dibawa Ke Mahkamah Untuk Reman

Mayat Nur Farah Kartini yang hilang pada 11 Julai lalu ketika menghantar kereta sewa telah ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Berikutan kes kehilangan seorang wanita, Nur Farah Kartini Abdullah yang dilaporkan pada 11 Julai lalu, pasukan anggota polis Selangor telah menjumpai satu mayat perempuan warganegara di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Polis Selangor, mayat itu ditemui semalam (15 Julai) sekitar jam 6 petang.

Berdasarkan pemeriksaan awal yang dilakukan, pihak polis mengesahkan bahawa mayat berkenaan dipercayai mangsa iaitu Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang pada 11 Julai lalu.

“Pemeriksaan awal mendapati mayat terbabit dipercayai adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait report (OH) bersangkut Tanjung Malim pada 11 Julai lalu,” katanya.

Laporan Harian Metro turut memberitahu bahawa abang kepada Nur Farah Kartini itu juga bergegas ke lokasi di mana mayat adiknya ditemukan oleh anggota polis.

Susulan itu, seorang penjawat awam yang merupakan lelaki tempatan berusia 26 tahun telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein bin Omar Khan menjelaskan bahawa kes tersebut kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kosmo melaporkan bahawa jasad wanita berkenaan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan disyaki dibunuh sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Memetik laporan Berita Harian pula, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada hari ini (16 Julai) selepas kereta polis yang membawa penjawat awam itu memasuki perkarangan mahkamah sekitar jam 8:48 pagi.

Suspek dilihat memakai pelitup muka dan baju lokap polis berwarna oren sambil diiringi pihak polis.

Harian Metro melaporkan bahawa suspek yang ditahan itu merupakan teman lelaki mangsa. Motif pembunuhan kini masih dalam siasatan.

“Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.

“Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan,” jelas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.


UPSI Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook, pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut mengucapkan salam takziah kepada keluarga Nur Farah Kartini atas kejadian yang berlaku.

Pihak UPSI juga mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini binti Abdullah yang telah pulang ke rahmatullah pada 15 Julai 2024 (Isnin). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” tulis pihak UPSI.


Kronologi Kes Yang Berlaku Sebelum Mayat Ditemui Pihak Polis

Terdahulu, Nur Farah Kartini yang berusia 25 tahun itu dilaporkan hilang pada Rabu lalu (11 Julai) selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti.

Pihak polis memberitahu bahawa mereka menerima laporan mengenai kehilangan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Miri, Sarawak itu pada 10 Julai jam 1:56 pagi.

Kehilangan mangsa juga dimuat naik oleh abangnya, Mohd Farriza Azmi di laman Facebook dengan beberapa maklumat untuk memudahkan sekiranya mana-mana pihak menjumpainya.

Nur Farah Kartini yang berketinggian sekitar 165cm dan berat 60 kilogram itu dipercayai kali terakhir dijejaki di Jalan U 1/2, Taman Universiti, Tanjung Malim dengan berpakaian baju korporat berwarna biru serta memakai tudung hitam.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd