Now Reading
Tukun Gerabak LRT Pertama Ditenggelamkan Di Dasar Laut, Raih ‘Malaysia Book Of Records’

Tukun Gerabak LRT Pertama Ditenggelamkan Di Dasar Laut, Raih ‘Malaysia Book Of Records’

Lokasi di mana tukun gerabak LRT itu dilabuhkan di Pulau Tioman telah dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi mereka yang tinggal di kawasan sekitar Lembah Klang, mesti anda sudah terbiasa melihat gerabak Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kan?

Kebiasaannya ia dilihat pada trek laluan yang disediakan dan berfungsi sebagai mod pengangkutan untuk warga kota yang mahu ke sesuatu destinasi.

Tetapi nak tahu tak, gerabak tersebut kini bukan sahaja berada di kawasan daratan. Malah, ia juga berada di dasar lautan juga.


Tukun Gerabak LRT Ditenggelamkan Di Dasar Laut

Memetik laporan Berita Harian, Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) telah mencetuskan inisiatif untuk melabuhkan tukun tiruan gerabak LRT di dasar laut Monkey Bar, Pulau Tioman, Pahang.

Lokasi tersebut menjadi tempat pertama ia dilakukan di Malaysia serta mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book Of Records (MBOR) di bawah kategori bangunan dan struktur.

Malah, tempat tukun gerabak LRT berkenaan juga dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.

Sumber: Facebook House of Pahang

Majlis pelancaran MBOR: The First LRT Coach Reef in Malaysia yang dijalankan pada 9 dan 10 Julai lalu juga telah disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara yang turut berangkat ke majlis ini adalah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.


Sultan Abdullah Zahir Keinginan Untuk Menyelam

Dengan adanya tukun tersebut, Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar ia dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan di Pulau Tioman serta memulihkan ekosistem marin di sekitar kawasan berkenaan.

Beta berharap tukun ini akan sedikit sebanyak membawa tarikan kepada pengunjung, khususnya mereka meminati bidang selaman. Beta berharap dengan terbinanya tukun ini, ekosistem marin di sekeliling Pulau Tioman akan bertambah baik.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan keinginan untuk melakukan aktiviti menyelam di kawasan tersebut selepas menonton tayangan video.

Beta sendiri akan cuba selam nanti sebab beta agak terpanggil selepas tengok video tadi. Kita akan membuat satu lagi temu janji untuk berada di Pulau Tioman dalam masa terdekat, insya-Allah.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut menasihati pihak berwajib untuk memantau gerabak LRT dan memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat.

Sumber: Facebook House of Pahang

Tukun Gerabak LRT Sebagai Kawasan Terumbu Baharu

Usaha melibatkan 60 orang penyelam yang diketuai oleh Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah untuk menenggelamkan dua gerabak LRT itu dilakukan bagi memperkenalkan kawasan terumbu baharu.

Pengurus Besar YASA Mohd Fakhrul Islam Juhali berkata lokasi Pulau Tioman telah dipilih oleh kerana kekayaan persekitaran marin serta lokasinya yang strategik.

“Tapak ini direncanakan supaya dapat meningkatkan kelestarian biodiversiti marin dengan menyediakan kawasan pembiakan ikan dan hidupan marin lain.

“Kita juga berharap tapak selaman ini dapat meningkatkan ekonomi tempatan dengan menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Tioman,” katanya.

Sumber: Facebook House of Pahang

Sultan Pahang Zahirkan Niat Mahu Jadikan Pulau Tioman Sebagai Pulau Contoh

Dalam majlis yang sama, Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan untuk menjadikan Pulau Tioman sebagai pulau yang boleh memberi contoh baik dari segi penjagaan alam sekitar.

Beta harap segala bentuk pembinaan struktur di pulau ini perlu diawasi sebaik mungkin oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa. Biarlah ambil masa dalam membuat keputusan dengan mengutamakan soal persekitaran.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, baginda juga berharap agar masyarakat setempat sekitar Pulau Tioman tidak mengabaikan penjagaan kebersihan sungai dan kawasan sekeliling rumah.

Baca Artikel Berkaitan: Fenomena ‘Laut Terbelah’ Di Pulau Pangkor, Pengunjung Boleh Berjalan Kaki Ke Pulau Giam

Baca Artikel Berkaitan: Fenomena Air Pasang Merah Di Pulau Pinang Sebabkan Hidupan Laut Mati


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd