3 Pelajar Malaysia Di UK Raih Keputusan Cemerlang Dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik & Elektronik
Tiga orang pelajar Malaysia yang menuntut pengajian di University of Manchester, United Kingdom (UK) itu telah menerima hadiah ‘Overall Performance in the Year Group (based on GPA)’.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menyambung pengajian ke luar negara merupakan impian bagi sesetengah pelajar kerana dapat memperolehi pengalaman yang lebih meluas.
Apabila menerima tawaran belajar di sana, pastinya terdapat persaingan yang cukup sengit kerana perlu mengejar akademik dan cara pembelajaran yang berbeza di luar negara.
Walaupun akan terdapat pelbagai cabaran untuk menyesuaikan diri serta mendapat keputusan cemerlang, ia tidak menghalang pelajar-pelajar Malaysia ini untuk meraih kejayaan dalam akademik mereka.
3 Pelajar Malaysia Raih Keputusan Paling Cemerlang Dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
Memetik laporan Berita Harian, seramai tiga orang pelajar Malaysia telah mencipta sejarah apabila meraih keputusan paling cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Tiga orang pelajar Malaysia yang menuntut pengajian di University of Manchester, United Kingdom (UK) itu telah menerima hadiah ‘Overall Performance in the Year Group (based on GPA)’.
Tiga pelajar tersebut adalah:
#1. Muhammad Nazmi Mohd Ropi
Pelajar berusia 24 tahun yang berasal dari Rawang, Selangor ini meluahkan rasa syukur kerana dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang selepas mendapat tempat pertama dalam kohort.
Pelajar tajaan Petronas ini yang bercita-cita untuk menjadi pembangun perisian tidak menyangka dia mampu untuk meraih kejayaan tersebut dan turut berterima kasih kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.
Terima kasih kepada pendorong utama saya iaitu ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Rakan sekelas yang aktif dalam perbincangan juga banyak membantu selain hubungan sosial yang rapat membawa kepada saling bantu-membantu ketika susah dan senang.
Muhammad Nazmi.
Meskipun dikelilingi dengan persekitaran yang kompetitif dan pelajar-pelajar yang lebih berkemahiran dalam berbahasa Inggeris, ia tidak pernah menjadi penghalang buat dirinya untuk mencapai kecemerlangan.
#2. Wan Nur Adlina Wan Halim
Gadis berusia 24 tahun yang berasal dari Pulau Pinang ini juga tidak menyangka pilihannya untuk menyambung pengajian di universiti tersebut telah membuka peluang kepada dirinya untuk mendapat keputusan kedua terbaik dalam kohortnya.
Anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini juga tidak melupakan segala dorongan yang diberikan oleh ahli keluarga serta rakan-rakan bagi membolehkan dirinya merangkul kejayaan dalam bidang akademik.
Terima kasih kepada ahli keluarga yang tidak putus memberi semangat dan dorongan sepanjang pengajian saya dan tidak lupa juga rakan satu kursus yang sentiasa ada untuk saya ketika saya memerlukan pertolongan.
Wan Nur Adlina.
Bercita-cita menjadi seorang jurutera, pelajar ini menjelaskan dia memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang ini kerana mempunyai minat terhadap ‘coding’.
#3. Mohamad Mukhzuhayr Mohd Rashid
Pelajar yang mendapat tempat ketiga terbaik dalam kohortnya juga terkejut dengan pencapaian yang diperolehi.
Mukhzuhayr, 24, yang merupakan pelajar tajaan MARA dan berasal dari Selangor ini memberitahu dia tidak pernah putus mendapat sokongan daripada ibu dan keluarga untuk sentiasa belajar bersungguh-sungguh.
Antara kunci kejayaan Mukhzuhayr untuk mengutip seberapa banyak pengalaman adalah dengan banyak membuat latihan industri di United Kingdom.
Selain itu, sepanjang berada di UK juga saya kerap membuat latihan industri bagi mendapatkan seberapa banyak pengalaman di luar kampus. Bagi saya apa yang penting dalam hidup ini adalah sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu dan dari situ akan mendapat lebih banyak ilmu berguna.
Mohamad Mukhzuhayr.
Bekas pelajar Kolej MARA Seremban ini yang bakal bergraduasi pada 18 Julai ini juga berharap agar kejayaannya membolehkan dirinya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang jurutera.
Ramai Pelajar Malaysia Yang Mendapat Tawaran Belajar Ke Universiti Terkemuka Di Luar Negara
Pada tahun 2023, tiga orang pelajar Malaysia yang telah terpilih ke Harvard College ialah Ho Shu Xin dari Ipoh, dan Pua E Rick dan Sydny Lum dari Kuala Lumpur.
Enam orang pelajar pada tahun 2022 pula ialah Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang, Chooi Je Qin (Johor), Carisma Michaela Wong (Sabah) dan Lee Ee Jenn (Kuala Lumpur) dan Alyssa Yap Xin Yi (Sarawak).
Bagi tahun 2021 pula, seramai dua orang pelajar iaitu Jarell Cheong Tze Wen dan Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi bagi pengambilan tahun 2025.
Baca Artikel Berkaitan: Dua Pelajar Malaysia Dipilih Masuk Ke Harvard College Antara 50,000 Permohon Serata Dunia
Pada April lalu, seorang pelajar lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur iaitu Matthew Tang telah diberikan tawaran sebanyak empat pilihan universiti di Amerika Syarikat.
Lebih mengejutkan lagi apabila kesemua universiti tersebut adalah di bawah institusi Ivy League yang umum diketahui mempunyai persaingan sangat sengit untuk dipilih sebagai pelajar di sana.
Empat universiti tersebut adalah:
- Yale University
- Columbia University
- Cornell University
- University of Pennsylvania
Selain itu, dia juga menerima beberapa tawaran di universiti terkemuka di dunia seperti:
- University of California
- University of Berkeley
- Imperial College London, United Kingdom.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Malaysia Dapat 4 Tawaran Universiti Bertaraf Ivy League
Baca Artikel Berkaitan: Pecah Rekod! 6 Pelajar Malaysia Diterima Masuk Harvard
Baca Artikel Berkaitan: 3 Pelajar Malaysia Bakal Bergelar Siswa Di Harvard College
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.