Now Reading
Dior & Armani Didakwa Gunakan Kos Pekerja Murah & Jual Beg Pada Harga Mahal

Dior & Armani Didakwa Gunakan Kos Pekerja Murah & Jual Beg Pada Harga Mahal

Pendakwa raya di Milan mendakwa syarikat berkenaan telah menggunakan subkontraktor yang mengajikan pekerja dari China dan warga asing lain dengan bayaran serendah $2 (RM9.42) sehingga $3 (RM14.12) sejam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tak dinafikan beg jenama mewah bukan sahaja kelihatan cantik tetapi ia juga turut mempunyai gaya yang tersendiri buat si pemakai.

Namun apabila bercakap tentang ‘mewah’ pastinya ia memiliki harga yang mahal.

Bahkan ada juga yang mencecah sehingga puluhan ribu ringgit untuk satu barangan apatah lagi jika koleksi itu merupakan keluaran terhad.

Dior & Armani didakwa upah kontraktor migran dengan bayaran rendah

Baru-baru ini jenama fesyen terkenal, Dior dan juga Amani telah menjadi perhatian selepas ia didakwa telah mengupah kontraktor warga asing dengan bayaran yang murah dalam menghasilkan beg tangan mewahnya.

Memetik Skynews, pegawai penguatkuasa undang-undang Eropah berkata jenama terbabit membayar pekerja serendah $2 (RM9.51) untuk membuat beg tangan walhal ia dijual pada harga beribu-ribu dolar untuk setiap unit.

Kenakan bayaran kepada pembekal sebanyak RM266 untuk pengeluaran beg tangan

Menurut The Wall Street Journal, Dior yang juga jenama fesyen mewah mutinasional Perancis dan dimiliki hartawan Bernard Arnaut sekeluarga telah membayar pembekal sebanyak $57 (RM266.23) untuk seutas beg tangan.

Namun beg tangan tersebut dijual pada harga yang mahal iaitu sekitar $2,780 (RM13,092).

Armani pula bayar RM1,271 kepada pihak pembekal

Manakala jenama Armani yang berasal dari Milan pula membayar sebanyak $270 (RM1,271.55) kepada pihak pembekal untuk membuat beg tangan dan ia dijual di pasaran pada harga bawah $2,000 (RM9,418.63).

WSJ turut melaporkan pihak berkuasa di Milan berjaya memperoleh angka tersebut selepas menjalankan beberapa siri serbuan terhadap bengkel serta kilang yang turut menggajikan pekerja asing tanpa izin dan lain-lain ‘yang tiada dalam rekod’.

Bayar serendah $2 hingga $3 untuk sejam, pekerja tidur dibengkel kena kerja walaupun hujung minggu

Pendakwa raya di Milan juga mendakwa syarikat terbabit telah mengupah subkontraktor yang menggajikan pekerja dari China dan warga asing lain dengan bayaran serendah antara $2 (RM9.42) hingga $3 (RM14.12) sejam.

Selain itu, pekerja terbabit turut didakwa tidur di bengkel serta dipaksa bekerja pada waktu malam sehingga awal pagi termasuk pada waktu cuti dan hujung minggu.

3 jenama mewah diletakkan di bawah pentadbiran mahkamah selepas didakwa menganiaya pekerja asing

Pada bulan lalu, hakim di Itali telah mengarahkan syarikat Dior, Armani serta Alviero Martini Spa yang juga syarikat fesyen mewah, diletakkan di bawah pentadbiran mahkamah selepas perbuatannya menganiaya pekerja asing.

The Post juga cuba mendapatkan komen daripada pihak Dior, Armani dan Alviero berhubung perkara tersebut.

GA Operations nafi salah laku yang didakwa

Armani bagaimanapun menafikan GA Operations yang juga kontraktornya membuat kesalahan itu. GA Operations adalah syarikat yang menghasilkan pakaian, aksesori dan hiasan rumah untuk jenama Giorgio Armani Group.

“Syarikat berkenaan sentiasa mempunyai langkah kawalan dan pencegahan untuk meminimumkan penyalahgunaan dalam rantaian bekalan.

“GA Operations akan bekerjasama dengan ketelusan sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan kedudukannya berhubung isu itu,” ujar Armani dalam satu kenyataan.

Menurut polis, GA Operations mengupah subkontraktor yang kemudian bertindak mengupah subkontraktor China yang tak dibenarkan dan segelintir darinya berada di Itali secara haram.

Jelas polis, ia adalah sebahagian daripada sistem ‘Caporalato’, penghantaran haram dan ekspoitasi pekerja yang paling kerap dikaitkan dengan sektor pertanian.

Sebanyak empat pemilik kilang China telah berdepan dengan siasatan jenayah berasingan atas peranan mereka.

GA Operations tidak berada dalam siasatan tapi diletakkan di bawah pentadbiran kehakiman untuk setahun

Menurut Leftenan Kolonel Carabinieri, Loris Baldassarre, GA Operations bagaimanapun tidak disiasat namun telah diletakkan di bawah pentadbiran kehakiman selama setahun sebagai sebahagian daripada prosedur untuk memastikan operasinya sah.

Satu gambar rajah yang dikeluarkan oleh polis turut menunjukkan subkontraktor China telah dibayar sebanyak €93 (RM474.11) untuk sebuah beg tangan syarikat fesyen yang dijual pada harga sekitar €1,800 (RM9,175.74).

Manakala subkontraktor yang diberi kuasa bertindak sebagai orang tengah namun tidak berupayaan untuk membuat pengeluaran telah dibayar sebanyak €157 (RM800).

“Sistem ini membolehkan keuntungan maksimum (di mana) kilang China itu mengeluarkan produk dengan kos buruh yang rendah menerusi pekerja haram dan yang tiada dalam rekod,” kata polis.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd