Now Reading
Projek River of Life Oleh Najib Dikira Gagal, Makan Belanja RM3.9 Bilion. Ini Respon Admin FB Najib Razak

Projek River of Life Oleh Najib Dikira Gagal, Makan Belanja RM3.9 Bilion. Ini Respon Admin FB Najib Razak

Menurut penemuan audit, business model yang tidak komprehensif telah menyebabkan penyenggaraan dan aktiviti RoL masih bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Projek Sungai Nadi Kehidupan (River of Life) di Lembah Kelang yang telah membelanjakan sebanyak RM3.915 bilion (89.7%) sejak 2011 sehingga 31 Disember 2023 dilaporkan tidak boleh disiapkan pada tahun ini. Malah, ia juga dikatakan tidak mencapai objektifnya, jelas Jabatan Ketua Audit Negara.

Menerusi penemuan audit, projek ini sepatutnya telah disiapkan pada tahun 2020, namun dilanjutkan sehingga 2024 dan masih tidak berjaya disiapkan sehingga kini.

Tambahan lagi, juruaudit mendapati pelbagai infrastruktur projek River of Life telah rosak, manakala kualiti air Sungai Klang masih tidak bersih.

“Semua objektif River of Life masih belum berjaya dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai Kelas IIB (yang sesuai disentuh bagi tujuan rekreasi), jelas Ketua Audit Negara Datuk Wan Soraya Wan Mohd Rodzi, dipetik dari malaysiakini.

River of Life Dilancarkan Di Bawah Pentadbiran Najib Razak

Untuk rekod, projek River of Life ini telah dilancarkan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak menggunakan dana berjumlah RM4.4 bilion. Ia merupakan pembangunan semula sungai-sungai sekitar lembah Klang.

Mengulas lanjut, dana berkenaan bertujuan membersihkan kualiti air sungai dan alirannya kira-kira sepanjang 100km.

“Setakat Julai 2023, sebanyak 12 projek RoL masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan lagi dalam pelaksanaan, manakala kontraktor penyiap pula belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.

“Analisis Audit mendapati hanya 79.4% kerja pengindahan sungai telah disiapkan dan hanya 50 daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaiktaraf.

“Analisis terhadap tempoh projek pula menunjukkan projek lewat disiapkan sehingga melebihi lapan tahun dan telah menyebabkan peningkatan kos kepada kerajaan.

“Pengauditan juga mendapati kesemua objektif RoL masih belum berjaya dicapai. Salah satu objektif RoL untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB sukar untuk dicapai kerana kelemahan dalam aspek perancangan, pelaksanaan projek, tahap operasi aset rendah serta tahan pematuhan efluen dan kesedaran penjagaan sungai yang masih rendah,” menurut rumusan Penemuan Audit.

Walau bagaimanapun menerusi carian pihak TRP, laporan penuh audit tidak dapat diakses di laman web Laporan Ketua Audit Negara.


“Bila Projek Gagal, Najib Pula Dipersalahkan?”

Namun, pengendali akaun Facebook milik Najib Razak membidas laporan malaysiakini yang membabitkan nama bekas Perdana Menteri itu berhubung kegagalan projek River of Life ini.

Tegasnya, “Masa Najib, pencapaian River of Life semakin nampak, air semakin jernih, lampu LED semakin cantik dan air semakin kurang berbau sehingga projek dan bandaraya Kuala Lumpur disenaraikan sebagai antara 10 waterfront paling baik dalam dunia pada tahun 2018.

“Ini dah 6 tahun sejak Najib tidak lagi jadi PM. Adakah korang pernah baca atau tengok kerajaan-kerajaan selepas Najib petik lagi perkembangan bagi projek River of Life ini?

“Bila projek dilancar masa Najib berjaya, berebut-rebut mereka claim kredit tanpa petik nama Najib. Bila projek gagal sebab mereka tak teruskan usaha yang sepatutnya, Najib pula yang disalahkan biarpun lebih 6 tahun sudah berlalu,” kata pengendali akaun itu lagi.

Dalam satu lagi hantaran, pengendali akaun Najib Razak turut menekankan projek tersebut sebenarnya masih mengikut timeline yang ditetapkan pasca PRU14.

“Pencapaian semakin nampak masa itu sehingga disenaraikan sebagai antara 10 waterfront paling baik dalam dunia pada tahun itu,” jelasnya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd