Pergelangan Tangan Putus Dipercayai Selepas Gaduh & Rebut Lokasi Edar Dadah
Anggota bomba telah menemui pergelangan tangan kiri yang terputus sewaktu memadam kebakaran kereta jenis Toyota Vios sekitar Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (23 Jun), pasukan anggota bomba yang memadam kebakaran kereta jenis Toyota Vios sekitar Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh telah menemui pergelangan tangan manusia yang terputus.
Pergelangan tangan kiri tersebut dipercayai ditetak menggunakan senjata yang ditemui atas jalan di lokasi kejadian, namun tiada mangsa dilihat di situ.
Difahamkan, tercetus satu pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di lokasi insiden sebelum Vios terbabit terbakar sehingga 95%.
Tangan Terputus Dipercayai Akibat Berebut Kawasan Edar Dadah
Terbaharu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata penemuan pergelangan tangan manusia yang terputus dipercayai berpunca daripada pergaduhan akibat perebutan kawasan pengedaran dadah oleh beberapa orang individu.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun dilaporkan parah selepas diserang 20 individu lain yang memakai topeng dan bersenjata.
Jelasnya, tiga mangsa itu kini sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Susulan kejadian tersebut, polis sudah merakam percakapan tiga individu terbabit yang masing-masing mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, putus pergelangan tangan kiri dan putus urat tapak tangan kiri.
“Rakaman percakapan semua mangsa sudah diambil dan menyatakan mereka diserang kira-kira 20 lelaki tempatan yang memakai topeng serta bersenjatakan kayu dan parang.
“Kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan cedera parah itu dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan dadah,” jelas Abang Zainal Abidin.
Tiga Lelaki Ditahan Untuk Bantu Siasatan
Mengulas lanjut mengenai kes ini, pihak PDRM telahpun memberkas tiga lelaki berumur antara 23 hingga 37 tahun untuk membantu siasatan.
Ketiga-tiga mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada hari ini (24 Jun) untuk permohonan reman.
“Polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil memberi keterangan dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Ghazali di talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” tambah Abang Zainal Abidin.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram