Now Reading
Anwar Sahkan Malaysia Bakal Sertai BRICS, Bakal Kukuhkan Hubungan Dengan China

Anwar Sahkan Malaysia Bakal Sertai BRICS, Bakal Kukuhkan Hubungan Dengan China

BRICS merupakan organisasi antara kerajaan melibatkan negara-negara membangun seperti Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dan Ethiopia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan bahawa Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan iaitu BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi.

Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan bakal memulakan prosedur rasmi bagi memungkinkan negara menyertai organisasi berkenaan.

“Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan,” kata Anwar.


Malaysia Lega Dunia Tidak Ditadbir Secara ‘Unipolar’

Memetik laporan Berita Harian, Malaysia menarik nafas lega apabila dunia kini tidak lagi ‘unipolar’ iaitu sistem tadbir urus global yang dikuasai oleh sebuah negara berkuasa penuh tanpa boleh dicabar.

Sumber: YouTube 观察者网

Ini kerana BRICS dan China seolah-olah dilihat memberikan harapan untuk mengamalkan proses semak dan imbang di dunia.

“Kita tidak lagi boleh menerimanya kerana mereka bukan lagi kuasa penjajah dan negara-negara merdeka harus bebas untuk menyerlahkan diri mereka,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika dijemput menyertai wawancara bersama pengasas media China Guancha, Li Shimo.

Tegas Anwar lagi, Malaysia tidak terpengaruh dengan gelombang ‘fobia China’ yang menular di Barat, sebaliknya menganggap negara Tembok Besar tersebut sebagai rakan perdagangan yang strategik.

Selain aspek perdagangan dan pelaburan, Malaysia juga bersedia untuk memberikan kerjasama dalam bidang seni, pendidikan, sains, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Sumber: MalayMai

Penyertaan Malaysia Dalam BRICS Mampu Beri Manfaat Dalam Sektor Ekonomi

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula melihat penyertaan Malaysia dalam BRICS dapat memberikan pelbagai jenis manfaat dari segi ekonomi kepada negara.

“Malaysia sudah terbabit selama ini dalam beberapa platform perdagangan dua hala dan pelbagai hala serta negara anggota kepada 15 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA),” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kilang Korporat Chery Malaysia pada hari ini (18 Jun) yang turut disertai oleh Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Dr Jin Zhuanglong dan Pengerusi Chery Automobile Co Ltd, Yin Tongyue.

Sumber: Facebook Tengku Zafrul

Apa Itu BRICS?

Untuk makluman, BRICS merangkumi negara seperti berikut:

  • Brazil
  • Rusia
  • India
  • China
  • Afrika Selatan

BRICS telah ditubuhkan pada tahun 2006 sebagai platform yang membolehkan kerjasama ekonomi melibatkan negara-negara yang menjadi ahli dalam organisasi ini.

Pada awalnya, BRICS hanya disertai oleh empat buah negara iaitu Brazil, Rusia, India dan China sebelum Afrika Selatan menyertai pada tahun 2010.

Kemudian pada 1 Januari 2024, lima ahli baharu iaitu Mesir, Iran, Emiriah Arab Saudi (UAE), Arab Saudi dan Ethiopia secara rasmi telah menyertai kumpulan ini.

Tujuan kumpulan BRICS ini dibentuk adalah untuk menyatukan negara-negara membangun yang penting di dunia dan mencabar kuasa politik serta ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

Sebagai info, BRICS yang kini memiliki 40% penduduk dunia yang telah menyumbang kepada satu perempat ekonomi global dan satu perlima daripada perdagangan global.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd