Remaja & Kanak-kanak 2 Tahun Maut Keracunan Makanan Selepas Jamah Bihun & Telur Goreng Dari Program Sekolah
Hidangan bihun dan telur goreng tersebut ditempah untuk satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin, Gombak, Selangor pada Sabtu lalu (8 Jun).


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Aspek kebersihan dan penyediaan makanan yang baik adalah penting bagi memastikan keselamatan serta kesihatan diri terjamin dari sebarang penyakit tidak diingini.
Sekiranya makanan yang dikendalikan tidak dijaga dengan betul, ia berisiko menyebabkan keracunan makanan dan individu yang memakannya menghidapi masalah seperti cirit-birit, muntah serta lain-lain.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar MRSM Alami Keracunan Makanan Lepas Makan Telur Rebus ‘Buruk’ Di Dewan Selera
Baca Artikel Berkaitan: Ibu Bapa Waspada Bila Anak Kecil Keracunan Makanan. Boleh Bawa Maut!
Lebih membimbangkan lagi, ia boleh mengakibatkan kematian seperti mana yang berlaku baru-baru ini.
2 Maut Selepas Makan Makanan Tercemar Dibawa Pulang Dari Sekolah
Terbaharu, seorang pelajar tingkatan lima dan kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dilaporkan telah meninggal dunia akibat keracunan makanan.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Arrifin Mohamad Nasir dalam satu kenyataan berkata kedua-dua mangsa maut selepas dipercayai menjamah bungkusan makanan yang dibawa dari sekolah.
Jelas beliau lagi, hidangan bihun dan telur goreng tersebut ditempah untuk satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin, Gombak, Selangor pada Sabtu lalu (8 Jun).

Kes Pertama Libatkan Remaja 17 Tahun
Bagi kes pertama, mangsa adalah seorang remaja lelaki warga tempatan berusia 17 tahun yang telah menjamah hidangan berkenaan selepas dibawa pulang oleh ibunya.
Mangsa serta ibu bapanya telah mengalami cirit-birit selepas makan bihun dan telur goreng tersebut.
Namun keadaan bertukar keruh apabila mangsa tidak menyedarkan diri sekitar jam 1:30 tengah hari semalam (10 Jun) sebelum disahkan meninggal dunia.
Bapa mangsa telah menghubungi pihak MERS 999 untuk mendapatkan bantuan. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Arrifin Mohamad Nasir.
Kes Kedua Libatkan Kanak-kanak Usia 2 Tahun
Bagi kes kedua, seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berusia dua tahun pula menjadi mangsa selepas memakan hidangan yang dibawa pulang oleh ayahnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah terlibat.

Pada mulanya, ibu mangsa menyedari anaknya mengalami demam, muntah serta cirit-birit sebelum dibawa ke Hospital Selayang dan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Pada 10 Jun 2024 lebih kurang 10:45 pagi, ibu mangsa mendapati mangsa demam, muntah-muntah dan cirit-birit. Ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang. Mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Hospital Selayang.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Arrifin Mohamad Nasir.
Kedua-dua Mayat Mangsa Dihantar Ke Forensik
Susulan kes yang berlaku, kedua-dua mangsa telah dihantar ke forensik Hospital Selayang untuk tindakan selanjutnya.
Pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

KKM Siasat Kejadian Keracunan Makanan
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan KKM sedang menyiasat kejadian keracunan makanan di Gombak, Selangor itu.
“Kes ini akan dijawab oleh (pihak) kesihatan awam dan pihak ibu pejabat (KKM) akan mengeluarkan kenyataan.
“Perkara itu masih dalam semakan dan siasatan,” katanya dipetik Harian Metro.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.