Now Reading
Majlis Keselamatan PBB Lulus Resolusi Gencatan Senjata Oleh Presiden AS

Majlis Keselamatan PBB Lulus Resolusi Gencatan Senjata Oleh Presiden AS

Resolusi gencatan senjata di Gaza ini menerima 14 undian daripada 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan Rusia memilih untuk membuat undian berkecuali.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terbaharu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan rancangan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lalu (10 Jun).

Memetik laporan Al Jazeera, resolusi tersebut akan melaksanakan gencatan senjata kekal, pembebasan tebusan dan pemulangan jenazah yang telah meninggal dunia melibatkan Israel dan Hamas.

Cadangan resolusi ini telah menerima 14 undian yang menyokong dan tiada undian menentangnya. Walau bagaimanapun, Rusia mengambil keputusan untuk menjadi satu-satu negara membuat undian berkecuali.

Sumber: Pexels

Tiga Fasa Dalam Rancangan Resolusi Gencatan Senjata Di Gaza

Resolusi gencatan senjata ini terdiri daripada tiga fasa termasuklah rancangan untuk membina semula Gaza selepas ia musnah akibat pertempuran yang berlaku.

Tiga fasa tersebut adalah seperti berikut:

  • Fasa Pertama
    • Pertukaran tebusan dan tahanan serta gencatan senjata bagi tempoh jangka pendek.
  • Fasa Kedua
    • Penghentian kekerasan secara kekal dan pengunduran sepenuhnya pasukan Israel dari Gaza.
  • Fasa Ketiga
    • Memulakan rancangan pembinaan semula Gaza untuk jangka masa panjang.

Sesi pengundian melibatkan 15 anggota Majlis Keselamatan telah berlangsung selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi membincangkan usaha membina sokongan dalam perjanjian gencatan senjata.

Baca Artikel Berkaitan: Lebih 274 Rakyat Palestin Syahid Di Nuseirat, Tentera Israel Selamatkan 4 Tahanan

Sumber: @OnlinePalEng/ X

Presiden Amerika Syarikat Maklum Bahawa Israel Bersetuju Untuk Gencatan Senjata

Keputusan untuk melakukan resolusi ini bermula beberapa minggu lalu selepas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memaklumkan bahawa Israel telah bersetuju dengan rancangan gencatan senjata kekal di Gaza yang melibatkan tiga fasa.

Bagi Duta Besar United Kingdom iaitu Barbara Woodward, situasi yang berlaku di Gaza digambarkan seperti ‘katastrofik’ kerana melihatkan penderitaan yang berlaku dalam tempoh terlalu lama.

“Kami menggesa pihak-pihak terlibat untuk mengambil peluang ini dan bergerak ke arah perdamaian yang berkekalan yang menjamin keselamatan dan kestabilan untuk rakyat Israel dan Palestin,” kata Woodward.


Gencatan Senjata Di Gaza Pernah Dilakukan Sebelum Ini

Pada 25 Mac lalu, Majlis Keselamatan PBB telah bersetuju untuk meluluskan resolusi gencatan senjata di Gaza bagi tempoh bulan Ramadan.

Selain itu, pembebasan segera tebusan tanpa syarat dan kemasukan bantuan ke Gaza juga dituntut dalam gencatan ini selepas menerima 14 undi yang menyokong dengan undian berkecuali dari negara berkuasa veto, Amerika Syarikat.

Sumber: HaniAlShaer/RTE

Sebagai info, gencatan senjata yang diluluskan untuk tempoh dua minggu ini buat pertama kalinya diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB selepas 171 hari peperangan berlaku di Palestin sejak Oktober 2023.

Tuntutan untuk melakukan gencatan senjata sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh Rusia walau bagaimanapun telah ditolak oleh pertubuhan tersebut.

Menurut Amerika Syarikat (AS), mereka mengambil tindakan berkecuali kerana menyokong gencatan senjata, namun tidak menyokong kandungan resolusi atas sebab ia tidak mengutuk perjuangan Hamas.

Sumber: X (@UNRWA)

Sementara itu pada 22 November 2023, kerajaan Israel juga pernah memeterai perjanjian untuk melakukan gencatan senjata selama beberapa hari sekiranya pejuang Hamas bersetuju untuk membebaskan sejumlah tebusan wanita dan kanak-kanak di Gaza.

Sebagai pertukaran, sejumlah rakyat Palestin yang berada di penjara rejim Zionis akan dibebaskan mengikut umur bermula dengan golongan warga emas.

Ia kemudiannya berlangsung buat beberapa ketika sebelum pembantaian Israel terhadap Palestin tercetus semula.

Baca Artikel Berkaitan: Israel Umum Setuju Gencatan Senjata 4 Hari, Mahu Hamas Bebaskan 50 Tahanan

Baca Artikel Berkaitan: Majlis Keselamatan PBB Luluskan Resolusi Gencatan Senjata Di Gaza Buat Pertama Kali Sejak 7 Oktober 2023

Baca Artikel Berkaitan: “Ini Tidak Akan Berlaku” – Netanyahu Tolak Seruan Gencatan Senjata Di Gaza


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd