“Saya Dianiaya, Ini Fitnah” – Bapa Zayn Rayyan Dakwa Dirinya Dianiaya, Ahli Keluarga Protes Mohon Keadilan
Mahkamah memutuskan untuk menyambung tahanan reman kepada ibu bapa Zayn Rayyan selama enam hari lagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam perkembangan terbaharu melibatkan kes pembunuhan kanak-kanak autisme iaitu Zayn Rayyan Abdul Matiin, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memutuskan tempoh reman ibu bapa mangsa disambung.
Memetik laporan Sinar Harian, reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan akan disambung selama enam hari lagi.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Ainaa Muhamad Kamal selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis yang dilakukan semalam (6 Jun) mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bapa Zayn Rayyan Kata Dirinya Dianiaya Dan Difitnah
Ketika dibawa masuk ke dalam mahkamah, bapa Zayn Rayyan yang berbaju lokap berwarna ungu sempat mengatakan bahawa dia telah dianiaya dan difitnah sebelum keadaan menjadi kecoh dengan jeritan daripada beberapa individu dipercayai ahli keluarga mereka.
“Saya dianiaya, ini semua fitnah,” kata Abdul Matiin.
Memetik Berita Harian, pihak media juga tidak dibenarkan untuk mengikuti proseding berikutan kes berkenaan yang masih dalam peringkat permohonan untuk siasatan.

Ahli Keluarga Pasangan Protes Di Luar Mahkamah
Pada masa yang sama, kira-kira 20 individu yang dipercayai ahli keluarga kepada Zayn Rayyan telah melakukan protes di hadapan Kompleks Mahkamah sejurus ibu bapa kepada kanak-kanak autisme itu dibawa masuk untuk prosiding reman.
Beberapa kain rentang turut dipegang dan antara tulisan yang dicetak adalah ‘Allahuakbar Keadilan Untuk Zaim & Isma’, ‘Justice For Zayn Rayyan’ dan ‘Keadilan Untuk Zayn Rayyan’.
Salah seorang wanita dipercayai ahli keluarga terdekat mereka juga dilihat menjerit agar keadilan berpihak kepada pasangan tersebut.
“Kami mahu pembunuh yang sebenar, ibu tahu Zaim tidak salah,” katanya.

Peguam Baharu Telah Dilantik Mewakili Ibu Bapa Zayn Rayyan
Terdahulu, peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Mahmud Jumaat telah menarik diri pada Selasa lalu (4 Jun).
Walau bagaimanapun, sebab beliau menarik diri dari mewakili ibu bapa Zayn Rayyan tidak didedahkan dan hanya memberitahu bahawa ia adalah atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Tidak lama selepas itu, datuk kepada Zayn Rayyan iaitu Zahari Mohd Reba telah melantik seorang peguam baharu iaitu Fahmi Moin bagi menggantikan Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co.
Baca Artikel Berkaitan: Fahmi Moin Wakili Ibu Bapa Zayn Rayyan Selepas Peguam Lama Tarik Diri
Baca Artikel Berkaitan: Peguam Ibu Bapa Zayn Rayyan Tarik Diri, Doakan Kes Berjalan Lancar
Baca Artikel Berkaitan: Zayn Rayyan Disyaki Mati 48 Jam Sebelum Ditemui, Terdapat Kesan Luka Cuba Pertahankan Diri
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.